JENGKA - Seramai 100 orang murid dan pelajar menyertai program gunting rambut percuma yang julung kali dianjurkan UMNO Cawangan Jengka 24 bersama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Jengka 24.
Ketua Pemuda UMNO cawangan itu, Mohd Firdaus Atib berkata, usaha tersebut sebagai sokongan selain membantu mengurangkan beban ibu bapa terlibat.
"Ini salah satu usaha kita untuk membantu ibu bapa kerana kalau di luar, caj yang dikenakan RM10 hingga RM15 sekepala.
"Cuba bayangkan kalau ada yang tiga, empat anak atau ke atas, jumlah tersebut sudah cukup membebankan ibu bapa," katanya.
Beliau berkata, program tersebut turut menawarkan set alas tulis kepada 10 murid sekolah rendah dan 10 pelajar sekolah menengah yang terawal.
"Untuk bulan puasa nanti, kita akan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan antaranya menyediakan bubur lambuk untuk penduduk," tambahnya.
Dalam pada itu, bagi Ijat Darwis Nor Hisham, 12, dia tidak melepaskan peluang menggunting rambut secara percuma tersebut untuk tampil terbaik pada hari pertama persekolahan.
"Terima kasih kepada pihak yang menganjurkan program sebegini dan ia banyak membantu kami," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Jengka 24, Razak Daud memuji usaha yang dilakukan itu dan menyifatkan program sedemikian dapat membantu mengurangkan beban ibu bapa yang berdepan pelbagai persediaan termasuk Ramadan dan Aidilfitri nanti.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28