Mangsa dibaham buaya ditemukan di Sungai Kalabakan

Iklan
Laporan Sinar Harian.

TAWAU - Mangsa yang dilaporkan hilang di Sungai Kalabakan di sini akibat dibaham buaya telah ditemukan meninggal dunia di Kampung Sungai Ulu Kalabakan pada Ahad.

Mayat, Asmadi Harun, 57, ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira jam 4.30 petang selepas isterinya memaklumkan mangsa dibaham buaya ketika mencari lokan di sungai itu pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, sepasukan anggotanya dihantar ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Menurut maklumat, mangsa diserang buaya ketika bersama keluarganya mencari lokan. Isteri dan anaknya sendiri menyaksikan mangsa dibaham buaya di lokasi tersebut.

Iklan

"Mangsa kemudian telah ditemui penduduk kampung dan setibanya pasukan bomba di lokasi, mayat telah dihantar ke Hospital Tawau," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Jemishin memaklumkan operasi mengesan haiwan tersebut sedang dilakukan.

Iklan

"Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau telah dimaklumkan mengenai kejadian ini dan dengan kerjasama pihak polis Kalabakan untuk tindakan selanjutnya.

"Tindakan yang diambil adalah menjalankan kerja-kerja menembak buaya selewat-lewatnya hari ini atau esok," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28