KUANTAN - Dua nelayan dilaporkan hilang selepas keluar memancing dari jeti di Kampung Baru Beserah pagi semalam.
Mangsa dikenali Zakaria Ramli dan rakannya, Zahari Sidek masing-masing berusia 59 tahun, gagal dikesan selepas kedua-dua mereka sepatutnya dilaporkan pulang sekitar jam 6 petang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, polis menerima maklumat itu selepas sepupu salah seorang mangsa membuat laporan pada jam 11.52 pagi Ahad.
Menurutnya, pengadu memaklumkan pada jam 3 petang, ada rakan-rakan yang dalam perjalanan balik ternampak mangsa sedang memancing ikan di sekitar lokasi unjan bangka latah dan unjan jabur dua.
"Jarak lokasi kedua-dua unjan terbabit dengan darat adalah lebih kurang 47 kilometer.
"Pengadu juga memaklumkan mangsa ada membawa alat navigasi GPS, memakai jaket keselamatan, namun tidak membawa telefon bimbit," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan maklumat terdapat lapan bot yang keluar memancing dan menangkap ikan di laut pada pagi Sabtu.
"Namun difahamkan hanya tujuh bot pulang ke jeti berkenaan.
"Usaha mencari telah dilakukan di lokasi kali terakhir, namun tidak menemui mangsa," katanya.
Tambah beliau, polis sudah menyalurkan maklumat mengenai kejadian itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
"Selain itu, hebahan kepada nelayan juga dilakukan bagi membantu mengesan mangsa dan usaha mencari masih berjalan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28