KUALA LUMPUR - Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) melancarkan program jangkauan komuniti #BerbudiBersama yang bertempat di Taman Tugu Lawn, di sini bersempena ulang tahun penubuhannya ke-30.
Pelancaran inisiatif tersebut sekali gus menandakan permulaan siri jangkauan komuniti yang telah dirancang dana kekayaan berdaulat itu bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat selain mencipta impak positif untuk negara.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, pelancaran #BerbudiBersama bukan sahaja untuk meraikan ulang tahun Khazanah Nasional, tetapi turut menandakan satu langkah ke hadapan dalam memupuk semangat perpaduan serta kerjasama seluruh rakyat Malaysia dari semua kaum dan latar belakang.
"Dengan pelancaran inisiatif #BerbudiBersama, kami (Khazanah Nasional bersama syarikat berkaitannya) berhasrat untuk mendampingi masyarakat secara dekat serta berkongsi pelbagai peluang dan manfaat untuk kemajuan bersama.
"Usaha ini merupakan tanda hormat serta penghargaan di atas segala sokongan serta kepercayaan mereka kepada kami,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran #BerbudiBersama pada Sabtu.
Malah, majlis itu turut disertai Ahli-ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional serta pengurusan entiti penyampaian impak Khazanah Nasional antaranya Amanah Warisan Negara (AWAN), Yayasan Hasanah, Think City, Taman Tugu serta wakil syarikat-syarikat pelaburan Khazanah Nasional seperti Axiata Group Berhad, CIMB, Malaysia Airports Holdings Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia dan UEM Group.
Dalam program #BerbudiBersama itu, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai aktiviti yang disediakan di lebih 100 gerai yang mengambil bahagian antaranya Gerai Rakyat yang diusahakan para pengusaha Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan yang menawarkan makanan dan minuman, barangan serta pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk kanak-kanak.
Malah, program itu turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti perkongsian pandangan, ceramah kesedaran kesihatan mental, kemahiran belia, bimbingan keusahawanan, pemeliharaan alam sekitar selain persembahan kebudayaan.
Cipta nilai masyarakat
Mengulas lanjut, Amirul Feisal melontarkan pandangan bahawa Khazanah Nasional sentiasa menekankan aspek pembangunan masyarakat yang adil dan inklusif sebagai satu aspirasi untuk memajukan negara.
"Justeru, Khazanah Nasional akan terus melaksanakan mandat membangunkan sebuah negara yang adil dan inklusif, supaya nilai kemasyarakatan dapat dinikmati semua dalam bidang seperti pendidikan, ekonomi, perniagaan dan sebagainya.
"Demi merealisasikan aspirasi ini, Kazanah Nasional secara langsung dan tidak langsung bersama Yayasan Hasanah, Think City dan Taman Tugu serta syarikat-syarikat berkaitan akan terus berusaha memberikan nilai kemasyarakatan,” jelasnya.
"Kemajuan yang dicapai dalam tahun-tahun sebelum ini bukan milik kami sahaja untuk diraikan, tetapi ia hasil usaha kolektif seluruh masyarakat dan pihak berkepentingan di Malaysia,” jelas beliau.
Program khusus
Pada masa sama, Khazanah Nasional kata Amirul Feisal, telah mengadakan sekitar 600 program pembangunan masyarakat Malaysia sepanjang tempoh 30 tahun penubuhannya dengan RM2.2 bilion telah dibelanjakan untuk tujuan itu,
Malah, pelaksanaan program khusus itu turut melibatkan hampir 500 rakan kerjasama yang telah dimanfaatkan oleh lebih 2.4 juta rakyat di seluruh negara meliputi kanak-kanak, belia, wanita dan sebagainya.
"Segala usaha ini tidak akan berhasil tanpa kerjasama daripada entiti-entiti penyampaian impak kami iaitu Yayasan Hasanah, Think City dan Taman Tugu, syarikat-syarikat berkaitan Khazanah, usahawan-usahawan sosial serta semua pihak yang telah menyalurkan sokongan penuh terhadap Khazanah Nasional,” katanya yang berharap kerjasama serta sokongan tersebut dapat diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.
Komitmen Khazanah Nasional itu menurut Amirul Feisal turut melibatkan usaha mengukuhkan nilai-nilai sosioekonomi, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang dihasratkan oleh kerajaan.
Reaksi