SHAH ALAM - Persatuan Emas Malaysia (MGA) mencadangkan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan penetapan harga ambang munasabah RM50,000 untuk barang perhiasan emas dengan kadar cukai terendah sebanyak lima peratus bagi meminumkan impak Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) terhadap industri emas.
Presiden MGA, Datuk Louis Ng berkata, kerajaan perlu memperhalusi cadangan berkenaan memandangkan industri tersebut sangat penting bagi pasaran Malaysia.
Menurutnya, pelbagai impak negatif akan berlaku terhadap industri emas negara, jika kerajaan tidak mempertimbangkan pelaksanaan cadangan itu.
"Kami juga mempunyai beribu-ribu kedai barang kemas dan kilang. Jika harga ambang tidak ditetapkan dengan betul, ia akan memberi kesan besar kepada industri seperti kehilangan pekerjaan, malah berisiko kehilangan bakal pelabur asing seperti China.
"Pengguna di Malaysia terutamanya membeli barang perhiasan emas untuk tujuan memberi hadiah, koleksi peribadi atau melindungi nilai daripada inflasi.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran barang perhiasan Malaysia menyaksikan lonjakan permintaan bagi budaya dan tradisi, bukan sahaja dalam kalangan wanita pertengahan umur, tetapi juga generasi muda, yang mencerminkan kekayaan warisan negara dan kepelbagaian penduduk," katanya dalam satu kenyataan.
Rakyat Malaysia mendapat keistimewaan untuk membeli barang perhiasan emas pada kadar bebas cukai.
Walau bagaimanapun, kemampanan industri emas dan barang perhiasan di negara ini masih tidak jelas dengan HVGT yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Dalam perkembangan lain, Louis baru-baru ini menjadi salah seorang panel dalam sebuah forum anjuran MGA bagi berkongsi mengenai perkembangan terkini berhubung industri emas selain peluang dan cabaran mengenainya.
Menurut beliau, forum itu menjadi medan untuk pihak industri dari luar Malaysia berkumpul di Kuala Lumpur berkongsi pandangan mengenai trend serta cabaran terkini pasaran.
"Ramai peneraju emas industri meneroka peluang untuk kerjasama masa depan di luar forum. Ini akan memberi manfaat besar kepada ekonomi global dalam jangka panjang jika semua orang kekal komited dan bersama-sama memberikan sumbangan," katanya.
Forum berkenaan yang dianjurkan MGA merupakan Forum Kerjasama Perdagangan Emas dan Barang Kemas China-ASEAN 2024 di Kuala Lumpur dengan Persatuan Emas China (CGA) dan United Overseas Bank (UOB) China, yang menjadi tuan rumah kepada lebih 50 perwakilan (terdiri daripada veteran emas, pelabur, jurubank, tukang emas) dari lapan negara ASEAN.
Negara-negara ASEAN, termasuk Malaysia, kebanyakannya adalah pasaran barang perhiasan emas selama beberapa dekad, dan negara ini juga menjadi pengeksport utama.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28