JOHOR BAHRU - Segelintir individu sanggup menjadi gelandangan di daerah ini walaupun mempunyai gaji lumayan di Singapura semata-mata mahu berjimat tanpa perlu menanggung komitmen dengan menyewa rumah dan sebagainya.
Mereka yang kebanyakannya bukan berasal dari Johor itu antaranya memilih tidur di pondok menunggu bas, stesen kereta api dan kaki lima kedai serta mandi di masjid dan stesen minyak berdekatan.
Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, terdapat 20 sehingga 30 pekerja Malaysia yang bekerja di republik berkenaan menjadi gelandangan seperti itu.
"Golongan ini kami temui semasa menjalankan operasi menyantuni gelandangan di sekitar bandar raya Johor Bahru baru-baru ini.
"Pada mulanya mereka disangka penagih dadah yang menjadi gelandangan tetapi apabila ujian saringan air kencing dilakukan, keputusan mendapati semuanya negatif.
"Mereka menjadi gelandangan kerana selepas balik kerja dari Singapura pada jam 10 atau 11 malam, perlu masuk semula untuk bekerja pagi esoknya.
"Jadi mereka rasa lebih mudah dan jimat hidup seperti itu dengan tidak perlu menyewa rumah.
"Ada di antara gelandangan tersebut membuang sampah dan mabuk setiap hari selepas pulang dari kerja," katanya kepada pemberita selepas Ops Hot Spot di ladang kelapa sawit di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Johor, Azli Ubin.
Beliau berkata, terdapat juga pasangan suami isteri dari Ipoh, Perak yang kedua-duanya bekerja sebagai tukang cuci turut menjadi gelandangan selama kira-kira tiga tahun.
"Apabila ditanya mengapa menjadi gelandangan, pasangan tersebut memberitahu tidak mahu sewa rumah kerana mahu jimat dan menyasarkan tempoh lima tahun bekerja di Singapura.
"Selepas itu pasangan tersebut bercadang pulang ke Ipoh dan membuka perniagaan.
"Sebenarnya setiap gelandangan yang ditemui mempunyai cerita masing-masing sebab mereka menjadi gelandangan," katanya.
Tian Soon berkata, kehadiran ramai gelandangan mencemar imej bandar raya ini dan mencadangkan mereka ditempatkan di rumah perlindungan bawah Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) untuk sementara.
Mengenai pencemaran empat batang sungai daerah ini baru-baru ini, beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan lebih kerap selepas ini.
Jelasnya, JAS dan pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan mengambil sampel air di sungai-sungai serta Kawasan Perindustrian Pasir Gudang apabila berlaku pencemaran.
"Kalau bacaannya tinggi kita akan ambil tindakan drastik.
"Pihak JAS juga akan menjalankan penguatkuasaan dari kilang ke kilang bagi memastikan mereka mematuhi syarat yang ditetapkan," ujar beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28