KUALA LUMPUR - Suria KLCC mencipta sejarah tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) untuk replika pagoda tertinggi di Malaysia di sini semalam.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, replika pagoda di KLCC Esplanade itu menjadi tarikan kepada pengunjung sempena Tahun Baru Cina.
Menurutnya, dengan ketinggian 21 meter, replika tersebut mempunyai keunikan tersendiri apabila diserikan dengan perhiasan tradisional masyarakat Cina seperti tanglung dan bunga peony.
"Pengunjung pasti akan tertarik dengan kemegahan dan keindahan Pagoda ini selain dapat menyertai aktiviti menarik dari 3 Januari sehingga 2 Februari depan," katanya ketika berucap merasmikan replika pagoda tertinggi di Malaysia di Suria KLCC di sini semalam.
Turut berlangsung, upacara utama tradisi masyarakat Cina iaitu Lou Sang yang diketuai Musa dan disertai Pengerusi Suria KLCC Sdn Bhd, Datuk Hashim Wahir; Ketua Pegawai Operasi Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan; Pengurus Besar Suria KLCC, Ben Chong serta Pengarah Pembangunan Perniagaan MBOR, Jwan Heah.
Pengunjung Suria KLCC disajikan dengan pelbagai acara dan persembahan tradisional masyarakat Cina yang disuntik dengan elemen moden.
Bertemakan The Great Lunar New Year perayaan tahun ini sejajar dengan kempen pelancongan Tahun Melawat Malaysia 2020.
Suria KLCC turut mempromosikan keunikan dan kepelbagaian budaya Malaysia yang diadaptasi kepada dekorasi indah di ruang legarnya.
Sementara itu Hashim berkata, Tahun Tikus adalah signifikan kerana merupakan tanda permulaan kitaran 12 haiwan Astrologi Cina, justeru tahun 2020 menjadi tahun pembaharuan khususnya bagi masyarakat Cina.
Katanya, mereka yang teruja untuk mengetahui apa yang mungkin menanti pada Tahun Tikus boleh mencuba Interactive Zodiac Reading selain pelbagai aktiviti dan tawaran menarik lain.
"Pengunjung berpeluang untuk memenangi e-baucar dari kedai kedai terpilih di Suria KLCC menerusi aktviti Lucky Angpow Pick and Win," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif komuniti sentiasa menjadi keutamaan Suria KLCC dan tidak terkecuali bagi musim perayaan kali ini.
Katanya, Suria KLCC meraikan kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik melalui derma ikhlas yang disalurkan kepada Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia.
"Sumbangan ikhlas ini merupakan usaha berterusan oleh Suria KLCC dan sebanyak RM20,000 disalurkan pada 3 Disember lalu sempena Krismas.
"Secara keseluruhan, Suria KLCC telah menyumbang RM40,000 kepada Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia," katanya.
Hashim berkata, pihaknya berharap dapat bersama-sama membantu meningkatkan tahap kesedaran orang ramai dalam menyuntik sikap masyarakat prihatin terhadap nasib kanak-kanak berkenaan.