Hampir 31,000 rakyat Palestin terbunuh hari ke-156 serangan Israel

Iklan
Orang ramai berjalan di antara serpihan di tapak serangan Israel ke atas bangunan pangsapuri di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Palestin Hamas di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza - Foto: Reuters

GAZA - Lebih 30,960 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita dalam serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza yang telah memasuki hari ke-156, kata pihak berkuasa kesihatan di wilayah terkepung itu.

Jumlah kecederaan pula mencecah 72,524 orang, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Iklan
Iklan

Angka kematian dijangka meningkat kerana ribuan penduduk dikhuatiri terbunuh di bawah runtuhan bangunan atau jasad mereka dibiarkan di jalan raya.

Tentera Israel juga menghalang akses bagi ambulans dan kru pertahanan awam.

Iklan

Puluhan orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak meninggal dunia sejak beberapa jam lalu dalam siri pengeboman Israel dari udara, darat dan laut, merentasi Semenanjung Gaza yang terkepung.

Sumber tempatan melaporkan gangguan telekomunikasi semasa serangan udara Israel yang menyasarkan beberapa rumah dan kawasan pasar di kem pelarian Nuseirat, di tengah Gaza.

Iklan

Israel pada masa sama memperhebat serangan mereka di bandar Khan Younis, selatan Gaza dan kawasan lain, termasuk Al-Matahen, Al-Zawayda dan Juhor al-Dik, di tengah Semenanjung Gaza.

Sementara itu, pewarta WAFA melaporkan beberapa penduduk Palestin terbunuh apabila tentera rejim Israel melepaskan tembakan rambang ke arah orang awam yang menunggu bantuan di bulatan Kuwait di utara Gaza. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28