Tiada keperluan panjangkan tempoh akhir RTK 2.0 - Saifuddin

Iklan
Saifuddin Nasution bercakap pada sidang akhbar Program Ihya Ramadhan PDRM Kedah bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari ini. - Foto: Bernama

KULIM - Tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh proses pengambilan pekerja asing oleh majikan yang mendaftar Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, perkara tersebut tidak perlu dilengahkan lagi memandangkan proses yang perlu dilaksanakan oleh majikan dalam pengambilan tenaga kerja asing telah dipermudahkan, antaranya tidak perlu lagi memohon visa pekerja melalui ejen.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini dia (majikan) yang isi (permohonan visa), lagi cepat dia isi lagi cepat dapat kerana (proses) permohonan itu hanya mengambil masa dua hari bekerja," katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah Bersama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pihak majikan yang mahu kerajaan membatalkan keputusan mempercepatkan tarikh akhir pengambilan pekerja asing.

Iklan

Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini mengumumkan bahawa kuota yang tidak digunakan untuk mengambil pekerja asing akan dibatalkan pada 1 Jun.

Kuota aktif untuk mengambil pekerja asing yang levi telah dibayar tetapi VDR belum dikeluarkan pada akhir Mac juga akan dibatalkan.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Saifuddin menyarankan supaya kesemua program mengimarahkan masjid terutama sepanjang Ramadan ini dapat menyelitkan kesedaran berhubung isu 3R (agama, kaum, diraja).

Beliau berkata, banyak hantaran yang dimuat naik oleh individu dalam laman media sosial telah menyentuh isu tersebut yang boleh diambil tindakan undang-undang jika dilaporkan kepada pihak berkuasa.

"Amalan hantaran dalam sosial media yang menyentuh tentang 3R itu perlu dinasihati supaya masyarakat mengambil sikap lebih berjaga-jaga, maka itu akan dapat membantu tugas polis.

"Hari ini polis mewujudkan pasukan petugas khas di bawah Bukit Aman terus. Maknanya sebarang aduan yang jatuh dalam kategori 3R ini, arahan Ketua Polis Negara adalah semua kertas siasatan mesti selesai dalam satu minggu," katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28