PM akan sertai acara berkaitan Ramadan di Jerman

Iklan
Anwar Ibrahim. Foto Bernama

BERLIN - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai lebih 5.5 juta umat Islam di Jerman menyambut ketibaan bulan suci Ramadan yang jatuh pada Isnin atau 11 Mac.

Anwar, yang dijangka tiba di sini pada 10 malam Ahad (5 pagi Isnin waktu Malaysia) bagi memulakan lawatan sulung beliau sebagai Perdana Menteri ke Jerman dan Kesatuan Eropah, akan turut terlibat dalam beberapa acara berkaitan Ramadan.

Iklan
Iklan

Menurut media tempatan, terdapat kira-kira 5.5 juta umat Islam menetap di Jerman, yang mewakili 6.6 peratus daripada populasinya dan merupakan kumpulan agama kedua terbesar di negara itu.

Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin pada Selasa berkata, Perdana Menteri akan mengadakan sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia di negara itu dan berbuka puasa bersama mereka.

Iklan

Beliau berkata kira-kira 1,800 rakyat Malaysia yang menetap di negara itu berdaftar dengan Kedutaan Malaysia selain 1,060 pelajar yang melanjutkan pengajian di sini.

Selepas berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Anwar akan menyertai jemaah lain di Masjid Sehitlik menunaikan solat Isyak serta Tarawih.

Iklan

Dr Adina berkata, Perdana Menteri kemudian akan meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti Islam terbabit.

Semasa berada di Berlin, Anwar juga akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau Canselor Olaf Scholz dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Frank-Walter Steinmeier.

Selepas mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri, Perdana Menteri akan berkunjung ke Hamburg bagi menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Timur Asia ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) yang dihoskan oleh Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman di mana beliau dijadual menyampaikan ucapan.

Beliau akan menunaikan solat Jumaat di Masjid El Nour di Hamburg.

Sepanjang lawatan itu, Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Jerman adalah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28