Roboh pangkalan haram Khamis, Sabtu kembali beroperasi

Iklan
Pangkalan haram di Pengkalan Kubor di Tumpat yang dirobohkan oleh pihak berkuasa menerusi operasi bersepadu pada Khamis kembali beroperasi dua hari kemudian.

TUMPAT - Pangkalan haram di Pengkalan Kubor di sini, yang dirobohkan pihak berkuasa menerusi operasi bersepadu pada Khamis lepas kembali beroperasi pada Sabtu.

Tinjauan Sinar Harian pada Ahad mendapati orang ramai masih menggunakan pangkalan tersebut untuk ke negara jiran dengan menaiki bot enjin galah.

Tinjauan Sinar Harian mendapati orang ramai masih menggunakan pangkalan haram untuk ke negara jiran dengan menaiki bot enjin galah.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Sa, 56, berkata, tindakan merobohkan pangkalan haram bukan langkah bijak kerana ia boleh dibangunkan semula pada bila-bila masa.

"Kerajaan kena ambil alih tanah yang menjadi tapak pangkalan haram ini.

Iklan

"Ini kerana kebanyakan pangkalan haram dibangunkan atas tanah persendirian. Jadi bila atas tanah persendirian tugas menghapuskan pangkalan haram tersebut menjadi sukar dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, sebaik sahaja pengambilalihan tanah dilakukan dan pemilik mendapat pampasan kerajaan boleh memulakan kerja pembinaan tembok kekal.

Kenderaan orang ramai diparkir di kawasan pangkalan haram yang terdapat di Pengkalan Kubor, Tumpat.

Iklan

Bagaimanapun, ujarnya, kerajaan perlu meneliti perkara itu secara lebih mendalam sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia boleh memberi impak besar kepada kawasan sempadan.

Bagi Yeh, 35, pula, dia melihat sempadan 'terbuka' antara dua negara sejak zaman berzaman telah memberikan kesukaran kepada usaha kerajaan itu kerana Sungai Golok mempunyai banyak laluan tikus.

"Jika satu ditutup, banyak tempat lagi akan dibuka penduduk di sempadan. Jadi jangan terkejut.

"Hubungan keluarga yang terjalin sejak puluhan tahun lalu membabitkan penduduk di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini memberikan kesukaran kepada usaha penutupan pangkalan haram itu," katanya.

Tambah Yeh, dia berharap kerajaan dapat membuat kajian sebelum mengambil sebarang keputusan.

Penduduk menyifatkan tindakan merobohkan pangkalan haram bukan langkah bijak kerana ia boleh kembali dibangunkan pada bila-bila masa.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi membincangkan isu penghapusan pangkalan haram yang berisiko menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan.

Pada Jumaat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak KDN bagi membincangkan isu tersebut dan sedia bekerjasama dalam usaha membanteras sebarang penyeludupan melibatkan Malaysia dan Thailand.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28