TEL AVIV - Ribuan penunjuk perasaan Israel berhimpun di Tel Aviv bagi mendesak diadakan pilihan raya secepat mungkin dan pembebasan tebusan yang diculik Hamas.
Mereka juga menuntut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu meletakkan jawatan kerana selepas lima bulan masih gagal menyelesaikan perang di Gaza.
Penunjuk perasaan berkumpul sambil memakai baju dan membawa sepanduk menampilkan nama serta gambar tebusan ditahan semasa serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, menggesa tindakan segera bagi menyelamatkan mereka.
Sesetengah penunjuk perasaan menggesa gencatan senjata segera dilaksanakan, namun pendirian itu ditolak pemerintah Netanyahu sehingga kini, dengan mengatakan ia akan memberi kemenangan kepada Hamas.
Kira-kira 1,160 orang maut dalam serangan Hamas ke atas selatan Israel.
Menurut kementerian kesihatan wilayah yang dikuasai Hamas, serangan balas Israel telah membunuh lebih 30,960 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Menurut Israel, kira-kira 100 tahanan dilaporkan masih hidup di Gaza, manakala 31 tahanan lagi dianggap sudah mati.
Pihak perunding sudah mendesak bagi perjanjian gencatan senjata baharu sebelum bulan Ramadan.
Bagaimanapun Presiden AS, Joe Biden berkata, terdapat kesukaran untuk mencapai kata sepakat itu. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28