17 along termasuk dua wanita dicekup

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan 17 individu dipercayai menjalankan kegiatan pemberi pinjaman tanpa lesen (along), dalam operasi bersepadu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil dan Jabatan Siasatan Jenayah selama dua hari berakhir pada Rabu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kesemua ditahan melibatkan 14 lelaki warga tempatan serta dua wanita dan seorang lelaki warga asing berusia antara 18 hingga 65 tahun, dalam beberapa siri serbuan yang dilakukan serentak di seluruh negeri.

Iklan
Iklan

"Pada op tersebut yang dilakukan melalui beberapa siri serbuan, seramai 17 suspek telah ditahan kerana dipercayai menjalankan kegiatan seumpamanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, dalam serbuan terbabit, polis turut merampas lima kenderaan, salinan kad pengenalan pelanggan (40), telefon bimbit (26), kad ATM pelbagai bank (25), pasport (14), komputer riba (dua), salinan perjanjian pinjaman (sembilan), buku rekod pinjaman (enam), beg sandang pelbagai jenama (tiga) dan papan kekunci serta tetikus (dua)

Iklan

Selain itu katanya, turut dirampas fail mengandungi senarai nombor peminjam, pencetak, CPU, monitor, modem, wang campur-campur berjumlah RM48,366 dan sembilan keping cek.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM250,000 dan tidak melebihi RM1 Juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Polis Kontinjen Johor memberikan komitmen akan meneruskan operasi dan tindakan terhadap aktiviti along melalui tindakan secara berterusan bagi membanteras aktiviti berkenaan.

Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar membuat pinjaman hanya dari institusi kewangan yang dilesenkan dan boleh merujuk kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau Bank Negara Malaysia bagi mengetahui status sesebuah institusi yang menawarkan pinjaman.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28