SHAH ALAM - Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan) mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk mempamerkan statistik kemalangan jalan raya yang berlaku saban hari membabitkan kehilangan nyawa.
Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini merupakan satu inisiatif yang baik sebagai peringatan kepada orang ramai terutamanya pengguna jalan raya mengenai betapa seriusnya statistik kemalangan jalan raya di negara kita.
Jelasnya, saban tahun sememangnya kita menyaksikan berlaku peningkatan kes kemalangan jalan raya di mana statistik secara purata menganggarkan berlaku dalam 18 kematian sehari akibat kemalangan jalan raya.
"Justeru, inisiatif memaklumkan statistik kematian ini setiap hari akan mampu menjadikan kita lebih waspada terhadap isu kemalangan jalan raya sekali gus menjadikan pengguna jalan raya lebih berhati-hati. Ini akan membawa mesej penting kepada pengguna jalan raya bahawa keselamatan jalan raya menjadi tanggungjawab bersama," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, selain memaparkan statistik ini melalui media massa mahupun secara dalam talian, pihak kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kualan Lumpur (DBKL) boleh memanfaatkan skrin elektronik yang wujud untuk memaparkan statistik ini.
"Selain daripada publisiti yang diuar-uarkan setiap hari, pengguna jalan raya juga perlu memainkan peranan dengan mematuhi peraturan dan lebih berdisiplin ketika menggunakan jalan raya.
"Diharapkan pekerja yang setiap hari berulang alik dari rumah ke tempat kerja dapat diberikan perhatian serius berikutan jumlah kemalangan melibatkan golongan ini juga semakin meningkat,"katanya.
Seperti dilaporkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), jumlah kemalangan pekerja yang berulang alik saban hari semakin meningkat saban tahun.
Pada 2021, jumlah pekerja kemalangan ketika perjalanan bekerja ialah sebanyak 23,481 kes meningkat ke 32,325 kes pada 2022 dan menjadi 38,454 kes pada tahun lepas. Ini menunjukkan trend peningkatan yang amat serius.