Super El Nino 2024 diramal lebih teruk

Iklan
MET Malaysia meramalkan cuaca panas dijangka meningkat pada penghujung tahun dan awal tahun depan dan kebarangkalian mencapai 90 peratus.

MENURUT penyelidikan baharu yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports, terdapat 90 peratus kemungkinan suhu di permukaan global akibat fenomena El Nino akan mencecah rekod tertinggi menjelang Jun 2024.

Fakta ini turut disahkan saintis-saintis Amerika Syarikat (AS) bahawa fenomena itu telah bermula dan mereka bimbang pemanasan yang berlaku akan menyebabkan suhu dunia melepasi had pemanasan 1.5 darjah Celsius.

Iklan
Iklan

Mereka juga mengatakan bahawa terdapat potensi 25 peratus fenomena kali ini akan melebihi 2 darjah Celsius pada kemuncaknya sekali gus memasuki fasa ‘Super El Nino’.

Kesan daripada fenomena ini, beberapa tempat akan menjadi lebih panas terutamanya di negara Asia Tenggara yang menyaksikan risiko kemarau berpanjangan dan kebakaran hutan seperti sering terjadi di Australia dan terbaharu di Texas, AS.

Iklan

Sebenarnya, El Nino adalah sebahagian daripada kitaran fenomena semula jadi, tetapi perubahan iklim akibat tangan manusia telah meningkatkan risiko bencana kepanasan melampau seperti dialami kita pada hari ini.

El Nino mempengaruhi cuaca di seluruh dunia, jadi kekuatan dan kemusnahannya akan terus memberi kesan kepada cuaca yang kita alami dalam beberapa bulan akan datang.

Iklan

Ayunan Selatan El Nino atau El Nino Southern Oscillation (ENSO) yang berlaku di timur Lautan Pasifik mempunyai tiga fasa berbeza iaitu panas, sejuk atau neutral.

Fasa panas berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan menyaksikan arus panas muncul ke permukaan di luar pantai Amerika Selatan dan merebak ke seluruh lautan di dunia.

Sebab itulah El Nino membawa cuaca yang sangat pelik walaupun kesannya dilihat berbeza dari rantau ke rantau lain.

Sebelum El Nino berkembang pada Jun 2023, peramal cuaca telah memaklumkan bahawa malapetaka besar berkemungkinan muncul akibat femomena ini.

Dalam pada itu, Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) berkata bahawa perubahan iklim terbaru yang akan terjadi dalam tahun 2024 akan 'menolak suhu global' ke wilayah yang belum dipetakan dan tidak mengejutkan ia bakal menjadi tahun paling panas sejak 1850.

Seorang profesor di jabatan bumi dan sains di Universiti Gothenburg Sweden, Deliang Chen meramalkan Teluk Bengal dan Filipina mengalami pemanasan paling terik ketika dilanda El Nino pada tahun ini.

Katanya, Filipina bakal berdepan dengan kemarau berterusan dalam beberapa bulan akan datang.

Malah, penyelidikan itu merumuskan fenomena ini turut memberi kesan kepada peningkatan suhu di seluruh Caribbean, Laut China Selatan, Amazon dan Alaska.

Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) turut meramalkan cuaca panas dijangka meningkat pada penghujung tahun dan awal tahun depan dan kebarangkalian mencapai 90 peratus.

Dalam laporannya agensi itu berkata, status tahap berkenaan dikeluarkan bagi mana-mana kawasan bersuhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Antara kawasan yang terlibat ialah Perlis, Pulau Langkawi, Padang Terap, Sik, Baling, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang di Kedah, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang dan Kuala Kangsar di Perak

Justeru, MET Malaysia turut menyarankan orang ramai supaya peka dengan perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat amaran cuaca terkini melalui laman sesawang rasmi, aplikasi myCuaca dan media sosial agensi itu.

Untuk rekod, fenomena El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan dan pada awal 2024, fenomena ini dijangka akan memberikan kesan yang lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak dengan negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan.

*Zulhilmi Hat ialah Wartawan Global Sinar harian

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28