RASANYA masih belum terlambat untuk Merak Jalanan ucap Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita hebat di luar sana.
Terutama bagi mereka yang bekerja dan dalam masa yang sama perlu turut menguruskan perihal rumah tangga.
Apatah lagi bagi si ibu yang mempunyai ramai anak, sudah pasti tanggungjawab yang perlu dipikul juga bertambah berat.
Namun semuanya mampu digalas dari anak itu bayi sehinggalah dewasa. Itulah kehebatan seorang wanita yang tiada tolok tandingnya.
Menyentuh mengenai wanita hebat, ada dua wanita yang ketika ini nama mereka meniti di bibir masyarakat. Yang pertama isteri kepada Aliff Aziz iaitu Bella Astillah.
Semua tahu dan bukan rahsia lagi, banyak sungguh dugaan Bella dalam berumah tangga namun dia masih lagi bertahan demi anak-anak dan sayangkan keluarganya.
Bukan mudah untuk menjadi Bella Astillah. Bersuamikan seorang artis tampan popular yang menjadi pujaan ramai wanita, banyak yang Bella perlu korbankan. Terutama perasaannya.
Bukan sekali berita gosip tersebar, beberapa kali juga namun sebagai isteri Bella lebih mengenali suaminya.
Dek kerana itulah, apa yang orang luar perkatakan, Bella yakin dengan keputusan yang dibuat tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Kehebatan Bella adalah berkorban perasaannya demi menjaga sebuah keluarga agar terus utuh.
Wanita hebat yang kedua pula adalah isteri kepada penyanyi yang baru sahaja bergelar juara di Anugerah Juara Lagu (AJL) baru-baru ini, Amir Jahari.
Tidak ramai yang tahu mengenai kehebatan wanita ini sehinggalah Amir sendiri mendedahkannya di laman sosial miliknya.
Kata Amir, isterinya banyak membantu menguruskan kerjaya dirinya sebagai artis dan dalam masa yang sama menguruskan rumah tangga dan menjaga tiga anak mereka yang masih kecil.
"Aku selalu kata kat dia, kalau aku tak kahwin dengan dia, aku mungkin tak main muzik. Sebab bukan semua isteri boleh support suami yang buat muzik 100%. Yang masa depan belum tentu. Tapi dia memang sangat percaya aku,” tulis Amir.
Jadi betullah, di sebalik kejayaan lelaki itu ada wanita sebagai tulang belakangnya. Kejayaan Amir kerana adanya Cik Amni, isterinya.
Ini hanya dua kisah wanita hebat yang kebetulan sedang hangat diperkatakan. Ramai lagi wanita hebat di luar sana dengan kisah-kisah menarik yang boleh dijadikan inspirasi.
Oleh itu, duhai lelaki, sayangilah dan hargailah wanita anda sepenuh hati.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28