Setuju, Langkawi jangan jadi pusat urut

Iklan
Langkawi sudah terkenal dengan alam semula jadinya yang ‘mahal’, jadi itulah yang harus terus dipertaruhkan.

SUARA Sinar sangat bersetuju dengan kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria supaya bilangan pusat urut di Langkawi tidak ditambah.

Hal ini kerana menurutnya, jumlah pusat urut di pulau pusat percutian terkenal tersebut sudah lebih daripada mencukupi selain bagi membendung aktiviti tidak bermoral.

Iklan
Iklan

"Jika ada yang bercadang buka spa dan mematuhi peraturan dan syarat ditetapkan PBT, kita benarkan. Yang kita tak benarkan adalah pusat urut sebab kita dalam konsep mentadbir negeri ini ke arah lebih baik," ujarnya.

Tambahnya, sektor pelancongan di Langkawi bukan bertumpu kepada pelancongan spa atau premis urut, sebaliknya alam semula jadi pulau legenda yang menjadi tarikan kepada pelancong dunia.

Iklan

Mansor berkata demikian ketika sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Mengulas kenyataan Mansor ini, Suara Sinar bersetuju dengan dua perkara iaitu yang pertama jika terlalu banyak pusat urut yang dibenarkan beroperasi, kemungkinan kegiatan tidak bermoral seperti kes pelacuran akan banyak dilaporkan disebabkan oleh lebih banyak tangkapan yang dibuat.

Iklan

Ini pastinya memberikan satu persepsi negatif dan rasa yang tidak senang terutama kepada mereka yang sudah berkeluarga untuk bercuti di pulau tersebut.

Mewakili mereka yang sudah berkeluarga, Langkawi dianggap sebagai pusat percutian selamat dan ‘bersih’ daripada perkara tidak bermoral.

Selain itu, kita juga sudah pasti tidak mahu Langkawi yang terkenal dengan kisah kesucian Mahsurinya tercemar dengan perkara-perkara yang tidak baik.

Biarlah negara jiran sahaja yang berhibur dengan caranya. Kita dengan cara kita. Ada gamat, coklat Daim dan pinggan mangkuk murah pun sudah membahagiakan.

Perkara kedua adalah Langkawi selama ini tidak bergantung pun pada pusat urut untuk menjadi pusat pelancongan terbaik dunia.

Jadi mengapa perlu sekarang? Langkawi sudah terkenal dengan alam semula jadinya yang ‘mahal’, jadi itulah yang harus terus dipertaruhkan kerana nilainya tinggi sehingga tidak ada harga yang boleh ditetapkan.

Apa yang Langkawi perlukan sekarang adalah cara untuk menarik pelancong tempatan.

Kaji kenapa begitu ramai rakyat Malaysia memilih untuk bercuti ke negara jiran pada setiap kali musim cuti.

Bukannya pusat urut yang menjadi pilihan tetapi rata-ratanya memberitahu tawaran negara jiran yang lebih murah.

Justeru, jika mahal menjadi masalah utama, maka sesuatu harus dilakukan supaya rakyat tempatan sendiri mampu melancong dan memeriahkan kembali Langkawi.

Berbincanglah supaya menang-menang dapat direalisasikan.

Selain itu, perkuatkan lagi strategi pemasaran dengan promosi serta aktiviti-aktiviti menarik. Barulah berpusu-pusu kami ke Langkawi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28