IPOH - Struktur bangunan pasar raya Mydin Manjoi di sini yang terbakar lewat petang Ahad tidak lagi stabil dan berisiko untuk runtuh.
Runtuhan pertama berlaku kira-kira jam 10.35 malam yang melibatkan sebahagian dinding atas sebelah kanan pasar raya berkenaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, dinding sebelah kiri bangunan berkeluasan kira-kira 64,000 kaki persegi itu juga kelihatan telah retak dan berisiko untuk runtuh.
"(Struktur bangunan) sudah retak, kalau tengok dari depan tak nampak. Saya nasihatkan tuan-tuan jangan pergi dekat. Memang kita tak benarkan. Sebab strukturnya tak teguh,” katanya kepada pemberita.
Sehingga jam 12.30 tengah malam tadi, pihak bomba masih melakukan kerja-kerja pemadaman.
Pada masa sama, penduduk berhampiran dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah-langkah keselamatan.
"Saya juga mengingatkan penduduk setempat agar berjaga-jagalah. Saya jangkakan operasi ini akan ambil masa lama sedikit sebab fire load di dalam itu agak tinggi.
"Pengurus Mydin juga ada maklum, di aras atas memang ada kain baju, perkakasan-perkakasan elektrik dan stor. Jadi fire load-nya tinggi, memang akan ambil masa sedikit untuk kita buat pemadaman secara total,” jelas beliau lagi.
Mengenai kemungkinan kebakaran berpunca daripada solar panel yang terdapat di atas bumbung bangunan pasar raya itu, Sayani berkata, Unit Forensik JBPM akan membuat siasatan terlebih dahulu.
Terdahulu, pasar raya itu terbakar pada jam 7.09 petang semalam. Setakat ini, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Sementara itu, Bernama memetik Sayani berkata, pasukan bomba yang tiba pada 7.25 malam telah membuat pemeriksaan, namun tiada kebakaran yang berlaku melainkan terdapat asap pada bahagian papan suis utama Mydin.
Bagaimanapun, 20 minit kemudian, pihaknya dimaklumkan pengawal pasar raya bahawa berlaku kebakaran di bahagian bumbung bangunan.
"Pasukan (bomba) gerakkan jentera di bahagian hadapan bangunan Mydin dan benar berlaku kebakaran di bahagian bumbung dan telah memulakan operasi pemadaman serta didapati bahawa kebakaran marak dengan cepat.
"Dimaklumkan juga bahawa di bahagian atas bumbung terdapatnya panel solar dan mereka (bomba) cuba untuk mengawal kebakaran dan guna pili bomba Mydin dan Lembaga Air Perak (LAP),” katanya.
Sayani berkata, kebakaran bermula dari bumbung sebelum merebak ke dalam bangunan berkenaan dan setakat ini, tiada rumah penduduk yang berdekatan terjejas dengan kejadian itu.
Tambahnya, operasi memadamkan kebakaran itu melibatkan 123 anggota dan pegawai daripada pihak bomba, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Pada masa sama, mereka juga mendapat bantuan daripada Tenaga Nasional Berhad, LAP, kakitangan Mydin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi Hafez Sabri serta Pusat Khidmat Parlimen Tambun. - Awani
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28