BERNIAT puasa merupakan perkara paling penting apabila kita menunaikannya. Lebih-lebih ketika mengerjakan ibadah pada bulan Ramadan.
Bahkan, nawaitu itu sebenarnya juga penentu bagi suatu ibadah yang dilakukan oleh seseorang.
Berbicara tentang hal itu, segelintir orang gemar memperbaharui niat puasa pada setiap malam. Terdapat pula sebahagiannya terus berniat puasa sebulan penuh pada malam pertama Ramadan.
Bagaimanakah tatacara niat yang betul sebenarnya dalam Islam?
Menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan, mengikut Mazhab Syafie, niat puasa wajib dilakukan pada malam hari sebelum berpuasa keesokannya iaitu setelah terbenamnya matahari (Maghrib) hingga sebelum terbitnya fajar sadiq (sebelum masuk waktu solat Subuh).
Ia bersandarkan kepada sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang tidak berniat puasa pada malam hari, maka tidak ada puasa baginya.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa’i dan At-Tirmizi dan Ibnu Majah)
"Apabila seseorang lupa untuk berniat pada malam hari, maka puasa pada siang harinya dianggap tidak sah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Bagaimanapun, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan menjelaskan, Imam Qalyubi dalam Hasyiahnya menjelaskan tentang suatu penyelesaian sebagai tanda-tanda berjaga-jaga agar puasa orang yang lupa berniat pada malam harinya tetap sah.
"Maka dianjurkan pada malam pertama bulan Ramadan untuk berniat berpuasa Ramadan satu bulan penuh.
"Andai ia dilakukan, maka jika seseorang itu terlupa berniat pada malam tertentu, puasanya akan tetap dianggap sah dan tidak ada kewajipan untuk menggantikannya (puasa tersebut),” katanya.
Tambah jabatan mufti itu, niat berkenaan dapat dilakukan dengan merujuk kepada apa yang diajarkan oleh Imam Malik.
"Seandainya puasanya terputus kerana sakit, haid atau perjalanan, maka wajib berniat kembali untuk hari-hari yang tinggal,” ungkapnya.
"Adapun, pendapat yang mengatakan boleh berniat sekali gus untuk berpuasa selama sebulan pada permulaan niat, tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga. Pada masa sama, hendaklah seseorang berniat puasa juga pada setiap malam,” nasihatnya.