IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak meneruskan operasi hari kedua memadam kebakaran Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi di sini pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kerja-kerja 'overhaul' dilakukan bagi memastikan sisa kebakaran dipadam sepenuhnya.
Menurut beliau, operasi pagi ini melibatkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Meru Raya, Simpang Pulai dan Pasir Puteh.
Media melaporkan pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar premis yang beroperasi di Lorong Pasar, Manjoi di sini pada Ahad.
Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 7.09 petang melibatkan bilik suis utama di tingkat atas pasar raya itu.
Beliau berkata, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian bumbung dan turut berlaku runtuhan dinding pada bahagian kanan premis.
Tambah Sayani, operasi dijangka akan mengambil masa apabila kebakaran melibatkan aras yang menempatkan pakaian, barangan elektrik dan stor barangan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28