INTER Miami mengalami kekalahan pertama mereka dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) selepas tewas 3-2 di tempat sendiri kepada Montreal.
Fernando Alvarez, Matias Coccaro dan Sunusi Ibrahim menjaringkan gol untuk Montreal dan menyaksikan mereka naik ke kedudukan kedua dalam saingan Eastern Conference mengekori Miami dengan perbezaan gol.
Jurulatih Miami, Gerardo Tata Martino memilih untuk merehatkan beberapa pemain utama dengan Messi diketepikan daripada skuad dan Luis Suarez serta Sergio Busquets berada di bangku simpanan.
Tetapi, keputusan tersebut Martino itu menjadi perhatian selepas Montreal mendominasi permainan sebelum Alvarez menanduk masuk gol pertama pelawat pada minit ke-13.
Miami cuba untuk kembali dalam perlawanan melalui jaringan Jordi Alba pada minit ke-17, namun pengadil tidak membenarkannya kerana ofsaid.
Miami terus mencipta peluang pada separuh masa kedua melalui beberapa percubaan dan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-71 apabila Leonardo Campana menanduk masuk hantaran lintang Lawson Sunderland.
Namun harapan Miami untuk mengekalkan permulaan tanpa kalah mereka pada musim ini musnah selepas Montreal menjaringkan dua gol dalam masa tiga minit tidak lama kemudian.
Coccaro menjadikan kedudukan 2-1 selepas menanduk masuk hantaran lintang Mathias Choiniere dan kemudian penyerang Nigeria, Sunusi Ibrahim menjadikan kedudukan 3-1 dengan sepakan lencong hasil serangan balas pantas.
Alba mencipta harapan Inter Miami untuk cuba bangkit dengan jaringan hebat minit ke-80 tetapi pelawat berjaya bertahan dengan baik untuk mendapatkan tiga mata.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28