ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan alasan tidak diadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri kerana dirinya suka membocorkan maklumat mesyuarat dalam ceramah politik dianggap tidak masuk akal.
Menurutnya, kebimbangan pengerusi bersama, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tentang kebocoran maklumat rahsia kerajaan hanyalah alasan 'mengada-ada'.
"Semua maklumat kerajaan akan sampai ke pengetahuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh Menteri Besar bila tiba masanya.
"Belum ada kejadian bocor selama empat tahun ini. Lagipun, menunggu peringkat ini akan hanya melambatkan pelaksanaan projek," katanya pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media pada Ahad, Saifuddin mendakwa Muhammad Sanusi tidak menjaga rahsia mesyuarat dan maklumat diperoleh dalam mesyuarat dihadirinya dijadikan sebagai modal berceramah di pentas politik.
Menurutnya yang juga Menteri Dalam Negeri, sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut menjadi punca mengapa mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan lebih setahun.
Muhammad Sanusi berkata lagi, rahsia lebih besar daripada 'rahsia kerajaan' yang didedahkan di Sidang Dewan Undangan Negeri pada 7 Mac lalu ialah tidak pernah ada mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri sejak November 2022.
Beliau turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menukar menteri lain sebagai Pengerusi Bersama dalam satu mesyuarat di Putrajaya beberapa bulan dulu.
"Umum mengetahui bagaimana beliau 'gedik berlebihan' bermain politik keterlaluan, mengeksploitasi maklumat kerajaan, dan menggunakan kuasa agensi persekutuan untuk memburukkan Kerajaan Negeri Kedah, khususnya mencipta pelbagai isu menekan dan merosakkan reputasi Menteri Besar, Exco dan pegawai kerajaan negeri dalam ceramah-ceramah politik beliau sejak dilantik sebagai menteri.
"'Gedik berlebihan' itu semakin menjadi-jadi terutama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-15 di Kedah. Beliau turut disaman atas 'gedik berlebihan' itu.
"Saya berpendapat beliau tidak ada gambaran sebenar apakah yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri kerana tidak pernah mengadakannya," ujar beliau.
Tambah Muhammad Sanusi, mesyuarat ini penting sebagai punca kuasa sesuatu arahan segera dikeluarkan kepada agensi dan jabatan untuk mempercepat dan melicinkan proses pelaksanaan sesuatu projek.
Menurutnya, beliau telah hadir mesyuarat pada peringkat lebih tinggi dan lebih besar bagi negara seperti Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara, Majlis Air Negara, Majlis Kerajaan Tempatan, Majlis Perancangan Fizikal Negara tanpa sebarang masalah dan tidak ada rahsia kerajaan yang bocor.
"Jangan-jangan beliau sebetulnya malu mata nak bermesyuarat bersama? Saya telah hadir bermesyuarat dengan PMX berulang kali tanpa sebarang masalah kerana kita sedar topi apa sedang kita pakai.
"Sebetulnya dia kena mengakui bahawa hal ini masalah diri dia, bukan masalah saya," kata beliau lagi.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28