PASIR GUDANG - Lebih 10,000 penduduk berdepan ancaman penyakit tuberculosis atau tibi berikutan kediaman mereka di Flat Tasek 64, Bandar Seri Alam di sini dikenal pasti sebagai antara hotspot penyakit itu di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, perkembangan itu membimbangkan lebih-lebih lagi lapan kes tibi dicatatkan dengan satu kematian di flat berkenaan tahun lalu.
"Flat ini dihuni oleh penduduk tempatan termasuk komuniti Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke negeri ini selain warga asing.
"Kegagalan sesetengah penduduk yang tidak membuat saringan lebih awal mengakibatkan penularan penyakit itu terutama membabitkan ahli keluarga masing-masing.
"Kes tibi menular sekiranya mereka tidak menjalani saringan mahupun mendapatkan rawatan pada masa yang tepat serta sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Karnival Kesihatan anjuran Unit Tibi Klinik Kesihatan Masai di Dewan Tasek 64, Flat Tasek 64 di sini pada Isnin.
Turut hadir Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pegawai Kesihatan Daerah Johor Bahru, Dr Haidar Rizal Toha.
Beliau berharap, kesedaran berkaitan penyakit tibi ini dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, karnival berkenaan merupakan satu usaha dalam mencegah penularan penyakit tersebut yang dengan pengisian antaranya gotong-royong, zumba, ceramah kesihatan, perkongsian bekas pesakit tibi, pemeriksaan kesihatan, pertandingan mewarna.
Cai Tung berkata, inisiatif penganjuran karnival itu memberi peluang kepada penduduk flat Tasek 64 membuat saringan kesihatan termasuk X-ray dengan percuma.
"Usaha kakitangan Klilik Kesihatan Masai turun padang bagi menjalankan karnival berkenaan selama sehari diharap dapat mempertingkatkan kesedaran ramai berkaitan tibi serta bertindak lebih awal sebelum terlewat," ujarnya.
Sementara itu, Haidar berkata, batuk berpandangan, demam, berpeluh, kurang selera makan dan susut berat badan merupakan antara simptom penyakit berkenaan.
"Mereka yang ada simptom ini perlu menjalani pemeriksaan kesihatan," menurut beliau yang mahukan penduduk mengambil serius gesaan tersebut.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28