KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengambil tindakan tegas ke atas pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand yang dikesan menjadi laluan tikus kepada pelbagai kegiatan jenayah penyeludupan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perkara itu telah dibincangkan bulan lalu dan syor yang dibincangkan serta dipersetujui adalah mengenai kewujudan pangkalan haram.
"Satu daripada keputusan adalah untuk ambil tindakan ke atas pangkalan haram itu.
"Ini menjadi laluan kepada pelbagai aktiviti penyeludupan dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar Majlis Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue 2024 di Maktab PDRM Cheras di sini pada Isnin.
Tegas Saifuddin, agensi berkaitan akan mengambil tindakan berdasarkan keputusan yang dicapai.
"Sebagai tindakan dan di peringkat pelaksanaan, saya fikir agensi berkenaan akan melakukan seperti mana keputusan yang dicapai," ujarnya.
Sebelum ini, Saifuddin memaklumkan KDN telah membincangkan langkah bagi menghapuskan semua bentuk kemudahan logistik haram termasuk pangkalan haram di sempadan negara yang berisiko untuk menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan.
12 Februari lalu, Sinar Harian menerusi laporan eksklusif melaporkan tiga tangkapan transporter dari 'Geng Bob' dan modus operandinya yang menjadikan terminal bas di Kota Bharu sebagai lokasi transit PATI.
Berikutan itu, Sinar Harian telah melakukan beberapa siri tinjauan di sekitar Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor, Kelantan membabitkan lokasi pangkalan haram yang dikesan mudah membawa masuk atau keluar penumpang sama ada tempatan atau Thailand.
Itu sekali gus merisikokan negara dengan aktiviti penyeludupan termasuk PATI atas faktor jarak Sungai Golok yang dekat.
Susulan itu, Sinar Harian dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya membongkar sindiket PATI menerusi serbuan di sebuah rumah penampungan di Demit, Kota Bharu, pada 21 Februari lalu, yang membawa tangkapan penjaga rumah, transporter dan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Siri kedua operasi pada 24 Februari, kemudian turut membawa tangkapan dua lelaki etnik Rohingya dikenali sebagai Ali dan Rahim di sekitar Kota Bharu yang menjadi dalang utama sindiket PATI.