PUTRAJAYA - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran kepada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Dewan Negeri daripada parti itu yang menyokong pihak lawan akan dikenakan tindakan.
Menurutnya, perkara itu akan dibuat selepas pindaan Perlembagaan Bersatu diluluskan oleh pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS).
Ujarnya, tindakan tersebut adalah kehendak dan keputusan dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu pada 2 Mac lalu.
"Kami amat berharap dengan penyerahan pindaan ini kepada RoS, ia dapat dipertimbangkan secara positif dalam tempoh segera.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka terdiri daripada Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mengulas lanjut, menurut Muhyiddin, selain pindaan terdapat juga perkara berkaitan perlucutan ahli yang dibentangkan kepada Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohd Zulfiqar Ahmad.
Tambah beliau, jika terdapat keperluan tertentu pihak mereka akan memberikan maklumat dengan sebaiknya.
"Mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, saya telah memohon Ketua Pengarah akan memberikan pertimbangkan sebaik-baiknya dalam tempoh segera,” katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28