BATU PAHAT - Suasana di pekarangan Kompleks Mahkamah Batu Pahat bertukar hiba selepas anak kepada Bella atau Mila Sharmila Samsusah, 32 bertanya di mana ibunya.
"Uncle, mana mummy?, itu reaksi Eusuf Abdul Fatah, 5 yang didengar selepas tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24 dibawa keluar dari kamar Mahkamah Majistret Batu Pahat, bagi sebutan semula kes tuduhan membunuh wanita itu, pada Disember tahun lalu.
Eusuf hadir ke mahkamah ditemani ahli keluarga termasuk kakak Bella, Norhisham, 36, dan juga bapa saudara, Nor Azhar Jamil, 55.
Sementara itu, Norhisham atau lebih mesra disapa Ayu tidak dapat menahan kesedihan mengenangkan kerinduan Eusuf terhadap ibunya.
"Jadi bila Eusuf tanya begitu secara spontan kepada Mohammad Haikal, keadaan jadi sayu," ujarnya ketika ditemui selepas prosiding sebutan semula kes pembunuhan Bella di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pada Isnin.
Ditanya mengenai Ramadan, Ayu menjelaskan ketiadaan Bella membuatkan Ramadan kali ini agak sedih buat keluarganya.
"Biasanya pada Ramadan pertama kami sekeluarga berkumpul untuk berbuka bersama, tetapi perasaan itu kini kosong malah tiada sebarang perancangan," katanya.
Selain Eusof, Bella mempunyai seorang lagi anak perempuan, Maream Isabel, 3, yang kini dalam jagaan neneknya, Noraini Salleh, 55.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!