BATU PAHAT - Keluarga berharap usaha untuk mencari saki baki tulang Bella atau Mila Sharmila dapat dijalankan secepat mungkin.
Norhisham Samsusah, 36 atau lebih mesra dipanggil Ayu berkata, tulang belakang dan kedua-dua tangan arwah adiknya itu belum ditemui.
Ayu berkata demikian selepas melawat lokasi penemuan sebahagian tulang bersama ahli keluarga dan peguam pemerhati, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor dan Nurul Hafidzah Hassan pada Isnin.
Pada 28 Februari, enam ketul tulang dilaporkan ditemui di belakang dan tepi rumah sewa terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, lokasi di mana rangka tidak sempurna Bella ditemui pada pagi 19 Disember lalu.
Perkara itu disahkan polis dan hasil pemeriksaan telah menjumpai dua ketul tulang dipercayai tulang bahagian peha, dua ketul tulang bahagian betis dan dua ketul tulang bahagian keting di lokasi tersebut.
Semua tulang yang dijumpai telah dihantar ke Jabatan Kimia Johor untuk dianalisis perbandingan asid deoksiribonukleik (DNA).
Pada 26 Januari lalu iaitu dua hari selepas pengebumian Bella, kakaknya mendedahkan mereka sekeluarga menitiskan air mata apabila mendapati jasad adik tersayangnya tanpa kedua-dua tangan dan kaki.
Kejadian itu disedari ketika Norhisham dan ibunya, Noraini Salleh, 55, memandikan rangka tidak sempurna itu di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan milik Bella.
Pada 19 Januari lalu, penemuan rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini, merungkai misteri kehilangan Bella sejak 14 Disember tahun lalu.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28