KUALA LUMPUR - Jenayah siber dan penyalahgunaan bahan seperti dadah memasuki fasa yang mencabar kewibawaan dan siap siaga pasukan polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini merupakan fenomena global bukan sahaja di Malaysia.
Menurut Saifuddin, beliau merasakan bahawa sekadar bergantung kepada pengalaman, keupayaan dan pengetahuan semata adalah tidak memadai.
"Memang ada berlaku serangan siber namun perkara itu berada dalam radar pengesanan pihak berkuasa dan kita sedar ia berlaku dengan kerap dan ada keupayaan mengesan.
"Kita dalam keupayaan mengesan pencerobohan siber termasuk laman strategik kerajaan dan cabarannya adalah bagaimana mahu tanganinya, itu sebenarnya dalam usaha untuk dibincangkan di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam Majlis Polis Diraja Malaysia (PDRM) Special Dialogue 2024 di Maktab PDRM di sini pada Isnin.
Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam perkembangan sama, kata Saifuddin, menerusi program sesi dialog yang disertai wakil dari 45 negara itu akan memberi fokus kepada jenayah siber dan penyalahgunaan bahan serta perkongsian maklumat di peringkat antarabangsa.
"PDRM ambil inisiatif anjur dialog ini yang mana diwakili oleh delegasi yang datang dengan pengalaman dan kemahiran berbeza sekali gus membolehkan perkongsian maklumat, kepakaran dan pengetahuan khusus untuk menangani dua permasalahan ini dikongsi,” ujarnya.
Sementara itu, kata Razarudin, aktiviti berkaitan jenayah siber dan penyalahgunaan bahan seperti dadah harus diberi perhatian serius dalam mengatasi masalah berkenaan pada masa akan datang.
"Sekiranya kita tidak mengambil dan melakukan apa-apa langkah pencegahan dari sekarang kita akan ketinggalan," katanya.
Tambahnya, PDRM kini ke arah untuk mengurangkan dan mengatasi masalah jenayah penyalahgunaan bahan narkotik dan jenayah siber.
"Kita perlu wujudkan satu entiti seperti gabungan agensi penguatkuasaan berkaitan dalam konteks keselamatan yang akan berkolaborasi di bawah MKN.
"Ini ditambah dengan kepakaran, kemahiran dan pengalaman dimiliki oleh gabungan entiti dapat mempertingkatkan daya kita dalam menangani jenayah berkaitan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!