SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari mengambil keputusan drastik menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari kerana merasakan diri tidak diperlukan lagi dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengasas Bersatu Selangor itu berkata, beliau telah dipinggirkan oleh parti tersebut sejak akhir-akhir ini dan dianggap tidak lagi relevan.
Menurutnya, hujah beliau dalam mesyuarat akhir penentuan akhir pengagihan kerusi Parlimen negeri Selangor pada PRU15 lalu tidak dipedulikan menyebabkan kerusi Kapar ditandingi Pas.
"Bagaimanapun semasa mesyuarat akhir penentuan agihan kerusi Selangor, Kapar telah diambil Pas tanpa mengendahkan perjanjian yang telah dibuat sebelum ini disebabkan adanya percaturan politik yang tidak sepatutnya dilakukan.
"Dalam mesyuarat tersebut, tiada sesiapa pun pedulikan hujah saya dan mereka mengambil keputusan drastik tanpa memikirkan bahawa Bersatu sepatutnya diberikan peluang untuk bertanding di Kapar," katanya pada sidang akhbar yang diadakan Shah Alam pada Isnin.
Pada Rabu, Abdul Rashid membuat kejutan dengan mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin.
Keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah meneliti titah ucapan Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Pada sidang akhbar itu, Abdul Rashid turut meluahkan kekecewaan apabila isu nama calon yang dicadangkan semasa PRN15 Selangor telah ditolak.
"Banyak nama ketua bahagian, timbalan dan beberapa nama lain di peringkat bahagian yang layak bertanding semuanya ditolak kecuali beberapa orang ketua bahagian sahaja.
"Saya sedaya upaya cuba mempertahankan maruah ketua bahagian yang layak dicalonkan tetapi tidak dipedulikan oleh kepimpinan tertinggi Bersatu," katanya.
Abdul Rashid berkata, beliau telah dihina dan dikeji hasil penolakan tersebut dan akhirnya dipecat daripada jawatan Pengerusi Bersatu Selangor susulan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepadanya.
"Saya mengambil keputusan drastik ini kerana merasakan diri tidak lagi perlukan dalam Bersatu. Saya telah ditolak jadi jangan salahkan atau marah saya kerana mengambil keputusan ini.
"Saya memohon maaf kepada penduduk dan pengundi di Selat Klang atas tindakan ini. Saya berjanji akan meneruskan tugas sebagai ADUN Selat Klang seperti yang biasa dilakukan selama hampir empat tahun sebagai ADUN pembangkang," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28