SEREMBAN - Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) telah mewujudkan satu jawatankuasa penyiasatan khusus berhubung isu tular di media sosial berkaitan pakar Ortopedik HTJS yang didakwa kurang sopan.
Pengarah HTJS, Datuk Dr Zaleha Md Noor berkata, hantaran tular itu dikesan di aplikasi Telegram pada 3 Mac lalu dan X pada 8 Mac lepas.
"Kandungan hantaran tersebut telah menyenaraikan dakwaan salah laku yang berlaku di Jabatan Ortopedik HTJS.
"Satu jawatankuasa penyiasatan telah diwujudkan khusus untuk menyiasat dengan segera isu tersebut.
"Kami memohon mana-mana pihak untuk tidak membuat sebarang andaian terhadap pihak yang terlibat sehingga siasatan kami selesai sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menerusi hantaran tular itu, surat berkenaan dipercayai diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bertarikh 7 Februari 2024 oleh seseorang yang bertugas sebagai pegawai perubatan.
Surat itu menyenaraikan secara khusus mengenai aduan berkaitan pakar Ortopedik HTJS selain meluahkan rasa tertekan akan tindakan pihak berkenaan.