Sektor agromakanan catat pertumbuhan memberangsangkan - Mat Sabu

Iklan
Mohamad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Inisiatif pengukuhan sektor agromakanan yang mula dirintis sejak 2022 telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamad berkata, pencapaian tersebut boleh diterjemahkan melalui pertumbuhan sektor agromakanan yang lebih kukuh pada 2023 dengan peningkatan 4.3 peratus kepada RM181.4 bilion berbanding RM173.9 bilion pada 2022.

Iklan
Iklan

"Sektor agromakanan memberikan sumbangan yang signifikan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) iaitu 11.6 peratus. Pengiraan ini meliputi industri agromakanan di bawah sektor pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

"Bagaimanapun saya menyedari bahawa KPKM masih berhadapan cabaran dalam menyelesaikan isu bekalan makanan yang bukan sahaja dihadapi oleh negara kita malah di seluruh dunia,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada Isnin.

Iklan

Mohamad berkata, susulan keputusan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Tahun 2024 pada 23 Februari lepas, KPKM sedang melaksanakan kajian dan perbincangan lanjut berhubung industri padi serta beras secara menyeluruh.

Hal itu termasuk cadangan mewujudkan satu harga dan gred beras tunggal dengan mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan dan kesan kepada pengguna.

Iklan

"Suka saya menegaskan bahawa belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan untuk menamakan beras tersebut sebagai Beras Madani,” katanya.

Sementara itu menjawab dakwaan wujudnya kartel dalam industri padi dan beras negara, Mohamad berkata, KPKM sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat dakwaan tersebut di bawah Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Beliau berkata, pada tahun lepas sahaja, 22 lesen penjualan benih padi sah dibatalkan kerana melanggar syarat sah lesen.

"Industri padi dan beras negara dikawal selia oleh KPKM di bawah Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522). Melalui akta ini, pelesenan dan penguatkuasaan merupakan langkah KPKM untuk memastikan ekosistem yang adil sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara.

"Sekiranya terdapat pelanggaran Akta 522 dan peraturan di bawahnya oleh pemegang lesen serta permit, KPKM akan membatalkan serta-merta atau menggantung lesen mana-mana pihak,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28