KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang melaksanakan pemetaan harga rumah mampu milik di bawah Dasar Perumahan Negara bagi memastikan harga bersesuaian dapat ditawarkan mengikut negeri serta lokaliti.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kaedah itu dijalankan berdasarkan kepada pendapatan median rakyat mengikut zon, negeri serta daerah yang diperoleh menerusi Tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2022.
Beliau berkata, pemetaan harga rumah mampu milik itu untuk dijadikan sebagai panduan saintifik kepada pemaju serta agensi penyedia perumahan bagi penetapan harga jualan rumah di setiap lokaliti.
"Dulu di bawah Dasar Perumahan Negara definisi rumah mampu milik adalah tidak lebih daripada RM300,000 tetapi harga (rumah mampu milik) di Kelantan pun RM300,000, harga di Kuala Lumpur pun RM300,000. Adakah masuk akal?
"Bagaimana kita nak samakan harga (rumah mampu milik) di Kelantan sama di Kuala Lumpur. Jadi, pada tahun ini, KPKT sedang melaksanakan pemetaan rumah mampu milik," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat pada Isnin.
Kor Ming turut memaklumkan bahawa pemetaan harga rumah mampu milik itu dijangka dapat disiapkan tahun ini.
Sementara itu sempena Ramadan yang bermula esok, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mengelakkan pembaziran makanan susulan 35 peratus daripada keseluruhan sisa dilupuskan pada Ramadan tahun lepas melibatkan sisa makanan.
"Berdasarkan statistik Ramadan tahun lepas, sebanyak 86,177.28 tan metrik sisa makanan dilupuskan. Bayangkan satu bulan sahaja lebih 86,000 tan metrik sisa makanan dilupuskan berbanding sisa pepejal yang dilupuskan iaitu sebanyak 243 tan metrik.
"Bagaimanapun, trend ini menunjukkan penurunan sisa makanan dilupuskan iaitu sebanyak 3.7 peratus berbanding 2022 iaitu 5.2 peratus melalui hasil kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan," katanya.
Menyentuh usaha KPKT bagi menjamin kebajikan peniaga kecil, Kor Ming berkata, kementerian itu menjangkakan MyKIOSK 2.0 dapat dilancarkan selepas perayaan Aidilfitri tahun ini, sekali gus dapat memberi manfaat kepada 20,000 peniaga kecil.
Inisiatif MyKiosk telah diperkenalkan kementerian itu pada tahun lepas bertujuan memulihkan dan meningkatkan tahap ekonomi penjaja dan peniaga kecil melalui penyediaan ruang niaga yang seragam di lokasi dibenarkan, selamat dan merupakan tempat tumpuan awam.
Dalam hal lain, Kor Ming berkata, KPKT sedang merancang untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) antaranya berkaitan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut mencakupi seksyen berkaitan kacau ganggu serta seksyen melibatkan kuasa pegawai PBT.
"Kadar denda yang terlampau rendah juga sedang disemak semula. Bagaimanapun, pindaan ini dalam proses libat urus semua kerajaan negeri dan Jabatan Peguam Negara sebelum rang undang-undang ini dimuktamadkan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohd Alamin ketika menggulung usul bagi kementeriannya berkata, Malaysia terus konsisten menghantar bantuan ke Gaza menerusi Ops Ihsan dengan bantuan seterusnya melibatkan penghantaran 100,000 pek makanan dilakukan secara berperingkat.
"Kita akan tambah lagi bantuan dan sekarang kita sedang dalam perbincangan bagaimana untuk kita hantar bantuan menggunakan kapal laut berbanding kapal udara (pesawat) ketika ini,” katanya.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28