Bekas MPT Bersatu, Muhammad Faiz sah sertai PKR

Iklan
Muhammad Faiz (tengah) hadir pada program di kediaman Menteri Besar Selangor pada Ahad.

SHAH ALAM- Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman sah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Perkara itu diumumkan menerusi Facebook selepas beliau hadir pada majlis doa selamat dan sesi penerangan isu-isu semasa di kediaman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Ahad.

Iklan
Iklan

"Alhamdulillah terima kasih Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari atas jemputan ke Majlis Doa Selamat dan sesi Penerangan isu-isu semasa di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.

"Dengan pengumuman terbuka oleh Datuk MB dalam majlis ini maka saya dan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil yang juga mantan Ketua Armada Selangor saudara Adhif Syan telah diterima sebagai ahli PKR yang baharu. Syukur. Setelah saya tidak berparti lebih dari 6 bulan,” katanya,

Muhammad Faiz (tengah) mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli Bersatu pada 7 Ogos tahun lalu.

Iklan

Jelasnya, keputusan yang dibuat merupakan langkahnya bersama rakan-rakan seperjuangan yang berjiwa marhaenis, nasionalis moderat dan pro integriti sepertimana roh asal rerformasi ketika ia mula bergema di negara kita kira-kira 26 tahun yang lalu.

"Saya bertekad akan memperkasakan perjuangan asal PKR, matlamat cakna rakyat kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Amirudin serta agenda nasional Malaysia Madani di bawah teraju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tegas mempertahankan sistem demokrasi dan Raja Berperlembagaan,” ujarnya.

Iklan

Muhammad Faiz sebelum ini mengumumkan meletak jawatan termasuk berhenti sebagai ahli Bersatu pada 7 Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana mendakwa pemilihan calon oleh parti bersifat ‘berat sebelah’ kepada ‘kartel’ tertentu dan muka baharu dijadikan sebagai ahli semata-mata untuk dipertandingkan dalam pilihan raya negeri (PRN) Selangor,

Kemuncak kepada isu itu menyebabkan pemberontakan lebih sembilan bahagian Bersatu di Selangor hingga berlakunya insiden membakar bendera Perikatan Nasional (PN) secara terbuka sebagai tanda protes akar umbi terhadap percaturan Jawatankuasa Pemilihan Saringan Calon.