PENDAHULU LaLiga, Real Madrid melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas kelab di zon penyingkiran, Celta Vigo di Stadium Santiago Bernabeu.
Gol pasukan kendalian Carlo Ancelotti itu dijelmakan Vinicius Jr (m-21) dan Arda Guler (m-94) serta gol sendiri Carlos Dominguez (m-88) dan penjaga gol Vicente Guaita (m-79).
Real mendominasi separuh masa pertama, namun dihalang ketangkasan beberapa penyelamatan baik daripada Guaita dalam perlawanan itu.
"Kami menunjukkan peningkatan dalam sikap, intensiti, tekanan dan peredaran bola. Ia tidak begitu sukar untuk melakukan lebih baik daripada yang kami lakukan sebelum ini.
"Kami memanfaatkan set-piece untuk mendahului dan kemudian kami menyelesaikan tugas. Kami gembira, fokus dan bermotivasi kerana ia adalah peringkat penting musim ini. Di Real Madrid, keputusan seri adalah langkah pertama ke arah krisis.
"Ini adalah tiga mata yang sangat penting berbaki 10 perlawanan liga, kami tidak boleh cicir mata selepas ini," kata Ancelotti
Keputusan itu menyaksikan Real Madrid mengumpul 69 mata, mengekalkan kelebihan tujuh mata ke atas pasukan di tempat kedua Girona, yang menewaskan Osasuna 2-0.
Sementara itu, Celta kendalian Rafa Benitez berada di tempat ke-17 dengan 24 mata, hanya satu tempat di atas zon penyingkiran.