KUALA LUMPUR - Tindakan seorang bekas anggota polis yang memakai uniform pasukan itu dipercayai untuk melakukan kegiatan jenayah mengundang padah apabila diberkas Jumaat lalu.
Suspek berumur 40-an itu dipercayai dibuang dari perkhidmatan sekitar tahun 2022 itu ditahan anggota unit kereta peronda polis (MPV).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata suspek merupakan anggota polis sebelum ini namun telah dibuang kerja.
"Semakan mendapati suspek telah dibuang kerja pada tahun 2022 lalu dan kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya pada Isnin.
Pada Ahad, tular video memaparkan seorang individu berpakaian uniform Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan dua anggota polis berdekatan Plaza Tol Duta, di sini.
Suspek yang turut memakai vest bertulisan polis serta memakai pangkat koperal sebelum itu dipercayai menahan sebuah kereta kononnya untuk pemeriksaan sebelum tindakannya itu dikesan anggota bertugas.