SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut Ramadan kali ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.
Dalam hantaran terbaharunya di Facebook, negarawan berusia 98 tahun itu turut mengucapkan selamat berpuasa dan menyambut Ramadan kepada semua umat Islam khususnya.
"Alhamdulillah dapat kita bertemu dan diberi peluang melakukan ibadah dan amalan sempena bulan yang amat istimewa bagi umat Islam.
"Saya ingin ambil peluang ini untuk ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesihatan saya serta Hasmah (isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali) dan kesejahteraan kami berdua.
"Saya masih menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) akibat daripada jangkitan yang saya alami sejak bulan Januari lalu. Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin pulih berkat doa yang diberikan serta usaha gigih para doktor, jururawat, serta staff di IJN ini,” katanya pada Isnin.
Bekas Perdana Menteri itu turut berharap agar kembali pulih seperti biasa dan dibenarkan pulang dalam masa terdekat.
Jelas beliau, setakat ini, adakalanya pakar di IJN membenarkannya pulang sekejap atau ‘home leave’ tapi tetap perlu bermalam di sana.
"Sekali lagi saya ucap terima kasih kepada semua yang telah mendoakan saya.
"Selamat berpuasa. Saya berdoa semoga amal ibadat dan usaha kita di bulan yang istimewa ini akan dirahmati dan diberkati ALLAH SWT insya-ALLAH,” katanya.