KUALA KRAI - Jambatan Gantung Sultan Ismail di sini yang dibina sekitar 1920-an, menghubungkan Kuala Krai dengan Kota Bharu, pernah menjadi nadi pengangkutan darat untuk rakyat melakukan urusan harian.
Meskipun tidak digunakan lagi sejak 1986 setelah jambatan baharu dibina bersebelahan, tetapi jambatan yang turut dikenali sebagai Gertak Gantung Sungai Nal oleh masyarakat setempat itu masih gah berdiri sebagai mercu tanda warisan kebanggaan rakyat Kelantan.
Namun, selepas lebih 100 tahun, jambatan dengan seni bina Eropah dan dibangunkan semasa penjajahan British itu, mungkin tidak bertahan lama kerana dikhuatiri akan runtuh bila-bila masa.
Tinjauan Bernama di jambatan sepanjang 21 meter dan lebar sembilan meter itu, mendapati terdapat beberapa kesan retakan pada struktur binaan dan berlaku hakisan tanah di kawasan berhampiran.
Penduduk Siti Faezah Ab Manaf, 33, berkata, sekiranya tiada langkah segera untuk membaik pulih jambatan yang merentangi Sungai Nal itu, kemungkinan besar akan berlaku perkara yang tidak diingini sekali gus melenyapkan satu daripada peninggalan warisan sejarah di Kelantan.
"Pihak bertanggungjawab perlu segera ambil langkah sewajarnya untuk pastikan jambatan gantung ini terus dipelihara dan dilindungi supaya generasi akan datang tahu mengenai kewujudan jambatan bersejarah ini," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Bagi Mohamad Harithah Zuhal, 32, yang menetap di Selangor, setiap kali pulang bercuti ke kampungnya di Tumpat, beliau selalu menggunakan jalan bersebelahan jambatan itu yang menurutnya melahirkan rasa bangga apabila melihat khazanah negara itu masih tersergam indah.
"Bagaimanapun, pada minggu lalu ketika saya melalui jalan terbabit, saya dapati beberapa bahagian struktur binaan jambatan itu sudah retak dan seolah-olah seperti mahu runtuh.
"Jika benar berlaku retakan atau hakisan tanah di kawasan terbabit, pihak berwajib perlu segera ambil tindakan supaya jambatan ini tidak lenyap dalam lipatan sejarah negeri," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, perbincangan bersama pegawai Majlis Daerah Kuala Krai sudah dilakukan sejak empat bulan lepas untuk membaik pulih jambatan berkenaan."Kita sedang menunggu maklum balas daripada pihak Majlis Daerah Kuala Krai untuk mengetahui punca dan kos yang diperlukan untuk baik pulih jambatan ini.
"Kami akan pastikan jambatan berusia lebih 100 tahun ini terus dipelihara dan menjadi antara kawasan daya tarikan untuk dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara ke negeri Kelantan," katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28