MAURICIO Pochettino menggesa penyokong Chelsea untuk mempercayai pemain kelab itu selepas kemenangan 3-2 ke atas Newcastle pada awal pagi Selasa.
Kemenangan itu menyaksikan peluang The Blues untuk beraksi dalam kejohanan peringkat Eropah kembali terbuka.
Bekas pengendali Tottenham Hotspur itu mengalami musim pertama yang sukar di Stamford Bridge, termasuk tewas pada perlawanan akhir Piala Liga kepada Liverpool bulan lalu.
Chelsea kekal di tangga ke-11 dalam carta Liga Perdana, tetapi hanya dibezakan empat mata dengan West Ham di tempat ketujuh untuk sekurang-kurangnya memastikan tempat dalam Liga Persidangan Europa.
"Kami perlu kekal bersama. Sehingga akhir kami akan berjuang untuk cuba memberikan peminat perkara yang terbaik.
"Hari ini kami menjaringkan gol awal, penyokong bagus di belakang kami. Mereka perlu mempercayai kami," katanya.
Kekalahan ke-12 Newcastle musim ini menyaksikan Magpies hanya satu mata di atas Chelsea di tangga ke-10.
Tekanan juga semakin meningkat ke atas pengendali Newcastle, Eddie Howe apabila Newcastle berkemungkinan besar tidak dapat meneruskan kecemerlangan musim lalu mengakhiri saingan liga pada kedudukan keempat.
"Kami tidak mempertahankan situasi itu dengan cukup baik dan jika anda berbuat demikian anda akan tewas dalam perlawanan.
"Saya tahu kami boleh mencapai tahap tertinggi sebelum ini, tetapi kami tidak melakukannya dengan kerap," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!