KUALA LUMPUR - Hari ini 12 Mac, umat Islam di Malaysia menyambut 1 Ramadan, bulan yang dinanti-nantikan untuk menunaikan ibadah puasa dan pastinya ramai yang berlumba-lumba mengumpul pahala sepanjang sebulan menunaikan Rukun Islam ke-3.
Bukan sahaja menahan lapar dan dahaga tetapi juga banyak lagi perkara yang perlu dijaga termasuk pertuturan, tambahan dengan penggunaan berleluasa media sosial yang banyak mengandungi perkara yang boleh dikongsi dan mungkin hanya mendatangkan dosa.
Mengulas perkara ini, Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Mohamad Haeqal Ishak berkata, pada asasnya, apa sahaja perbuatan buruk yang menyakitkan saudara muslim lain sama ada lahiriah atau batiniah, ia satu perbuatan dosa tidak kira bagaimana bentuk sekalipun perbuatan itu dilaksanakan berikutan seseorang muslim itu bersaudara.
"Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW, seseorang muslim ke atas muslim lain perlu dipastikan selamat daripada melakukan kejahatan lidah serta tangannya, ” katanya kepada Bernama.
Menurut beliau, ia termasuk perbuatan buli siber atau menghamburkan kata-kata yang tidak enak melalui media sosial kepada saudara kita yang lain. Lebih-lebih lagi apabila perbuatan itu dilakukan pada bulan Ramadan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan," tambahnya.
Melakukan dosa di bulan mulia, kata beliau, menunjukkan seseorang itu tidak menghormati kehormatan bulan Ramadan di saat umat Islam lain berlumba-lumba mengerjakan kebaikan dan mengejar pahala atau ganjaran berlipat ganda yang dijanjikan oleh ALLAH SWT.
"Namun begitu terdapat sebilangan yang memilih untuk mengotori keindahan bulan ini dengan perbuatan nista dan binasa.
"Justeru seorang muslim haruslah meninggalkan perkara terbabit demi menjamin kesempurnaan pahala berpuasa mereka di sisi ALLAH. Amat rugilah mereka yang seharian kepenatan dalam lapar dan dahaga pada akhirnya menjadi seorang yang muflis di sisi ALLAH disebabkan dosanya mengumpat, mengeji dan memburuk-burukkan orang lain.
"Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:"Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam”. (Riwayat Ibnu Majah, no. Hadith 1690). Justeru, janganlah menjadi seorang muslim yang sia-sia dan mensia-siakan amalannya," katanya.
AWASI YANG DIKONGSI DI MEDIA SOSIAL
Menurut Mohamad Haeqal, konsep ihsan adalah suatu konsep yang berupaya memastikan kebertanggungjawaban seseorang umat terhadap apa sahaja perbuatan yang dilakukan.
"Muslim yang ihsan akan sentiasa berasa dirinya diperhatikan oleh Allah yang Maha Melihat sehingga dirinya tidak akan tergamak melakukan sebarang perbuatan mungkar dan keji. Insan beragama Islam yang ihsan juga tahu bahawa dirinya kelak akan dipertanggungjawabkan terhadap apa sahaja tindak tanduknya di atas muka bumi.
"Mereka sentiasa sedar bahawa di sisinya sentiasa diapit oleh dua malaikat pencatat amalan. Maka penting menjaga tindak tanduk kehidupan seharian kita. Selain itu sifat ihsan juga membuatkan kita merenung kedudukan orang yang kita zalimi sehingga seolah-olah kita dapat merasai betapa sakitnya dizalimi sehingga kita tidak akan sanggup untuk berlaku zalim lagi.
"Ini termasuk kesanggupan kita untuk menaip dan menulis perkataan yang tidak enak yang boleh menyinggung perasaan orang lain," katanya.
Beliau berkata, seandainya muslimin dan muslimat mengenali sifat ‘jalal’ (keagungan) ALLAH, sudah tentu akan menyedari bahawa setiap amalan buruk seseorang itu akan dihakimi dan dihukumi oleh Allah kelak.
"Apakah kita sanggup berhadapan dengan azab neraka menggerunkan sedangkan sekadar demam sahaja kita sudah menjadi lemah dan lelah. Berbaloi ke ketikan beberapa perkataan jahat kita itu ditimbal balik dengan ribuan tahun seksaan di neraka? Seandainya kita merenung perkara ini nescaya tidak ada yang sanggup berbuat demikian apatah lagi menyakiti orang lain dari apa-apa segi dan bentuk pun," katanya.
Justeru, katanya, amalan meningkat gandaan pahala menerusi perkataan dan penulisan di bulan Ramadan amat dituntut dengan membanyakkan berbuat baik.
"Mereka yang mengajak kepada kebaikan melalui perkataan dan penulisan akan memperoleh manfaat pahala seluas sebaran dakwahnya itu.
"Selain melipatgandakan amalan membaca Al-Quran yang menjadi keutamaan di bulan Ramadan, masyarakat juga boleh mengajak sahabat melakukan ibadat bersama-sama. Meninggalkan perkara yang tidak berfaedah juga suatu kebaikan termasuk meninggalkan perbualan yang sia-sia atau penulisan yang melalaikan serta buruk," katanya.
HAYATI RAMADAN
Setiap ibadah yang difardhukan oleh Allah, menurut Mohamad Haeqal, menyimpan pelbagai hikmah sama ada untuk dihayati penilaiannya secara individu atau kolektif.
Secara individu, katanya, berpuasa adalah suatu bentuk latihan fizikal dan juga mengukuhkan kerohanian dalaman seseorang muslim.
Individu dibiasakankan untuk berhadapan dengan cabaran lapar dan dahaga melalui amalan berpuasa dan ibadah ini juga memberi kerehatan kepada tubuh badan manusia serta peluang untuk perut membersihkan segala isi kotorannya.
"Dari sudut kerohanian, umat Islam bukan hanya dilatih untuk mengawal nafsu daripada segala perkara yang membatalkan puasa bahkan terhadap perkara yang mengurangkan pahala puasa. Sikap berpada (qanaaah), bersyukur dan bersabar dibentuk melalui latihan ‘Muraqabah al-Nafs’ (pengawalan manusia terhadap nafsunya)," tambah Mohamad Haeqal.
Secara kolektifnya, kata beliau, umat Islam seharusnya menyedari bahawa puasa itu adalah suatu penghayatan ke atas konsep kesyukuran dan ihsan kerana berpuasa mengajar seseorang untuk mengerti penderitaan saudara-saudara yang serba kekurangan dan yang diuji dengan ujian rezeki, keselamatan dan kesihatan sepertimana yang dialami oleh rakyat Palestin sekarang.
"Seharusnya masyarakat Islam yang benar-benar menghayati perkara ini akan lebih bersyukur dan bersikap ihsan, tidak membazir dan menjadi lebih keterhadapan dalam membantu mereka yang dalam kesusahan, ” katanya.
LEBIH EMPATI
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, sepatutnya penggunaan bahasa yang baik bukan hanya dituntut dalam bulan Ramadan sahaja namun pada setiap masa manusia dituntut untuk menjaga lidah daripada dicemari bahasa yang cabul.
"Dalam budaya Melayu, frasa 'budi bahasa' diungkapkan serentak yang bermakna peribadi orang mulia itu menjaga bahasanya sebagai tanda ketinggian budi," katanya.
Beliau berkata, ketika ini, media sosial sudah menjadi medan luahan pandangan yang mengghairahkan berikutan tidak ada kawalan atau dalam istilah media tiada pengampang maklumat, dengan itu membuatkan pengguna bebas menonjolkan"kepandaian" dengan berkata tentang apa-apa sahaja demi memenuhi psike atau situasi jiwa mereka.
"Sepatutnya mereka berfikir sebelum menulis kerana kesannya melibatkan perasaan orang lain. Jika ada kecabulan, fitnah serta provokasi yang boleh mengakibatkan perseteruan yang tidak betul jalannya, bukan hanya dosa yang diperoleh bahkan kesan buruk dalam masyarakat," jelasnya.
Ditanya berhubung sikap sesetengah individu seperti"jiwa kacau" ketika berlaku sesuatu isu yang menarik perhatian umum dan jari begitu laju menghentam sesuatu yang berlaku itu sedangkan diketahui ia perlu dikawal semasa menjalankan ibadah puasa, Mohamad Saleeh berkata, nafsu untuk memberikan pandangan tidak lagi terkawal apabila seseorang itu berpuasa yang dianggap sekadar rutin atau ritual.
"Tanpa penghayatan makna puasa itu sendiri, tentulah sukar bagi seseorang untuk mengawal diri tanpa dikawal oleh kuasa yang tampak nyata. Seorang penulis walau dalam bidang atau genre apa-apa pun, perlu sedar bahawa selagi perbuatan mereka melibatkan kesan buruk pada orang lain maka dosanya berterusan.
"Bagi penulis misalnya, sekiranya mereka meninggalkan karya cabul yang merosakkan fikiran pembaca, selama-lamanya dosanya bercambah. Maka tinggalkanlah karya yang murni kepada pembaca kerana itu bakal menjadi saham akhirat bagi mereka," katanya.
PUASA LATIHAN JADI BAIK
Menurut Mohamad Saleeh, penghayatan sebenar yang perlu diabadikan umat Islam ketika menunaikan ibadah berpuasa ialah memahami bahawa puasa adalah latihan untuk manusia menjadi baik dan taat kepada Allah.
"Ketika berpuasa, ada perkara halal yang dilarang, dan tanpa soal jawab, itu mesti dipatuhi. Maknanya, makhluk Allah mesti menurut perintah Allah tanpa banyak usul periksa. Jika ada rahsia atau hikmah dari segi kesihatan apa aspek lain, itu hanya bonus.
"Yang lebih utama, puasa mendidik manusia mematuhi perintah Allah walaupun tanpa kawalan manusia. Misalnya, walaupun kita boleh makan di tempat terlindung daripada pandangan awam, kita tidak akan makan demi perintah Allah," katanya.
Dalam mengawal jari-jemari agar tidak menulis atau menaip perkara tidak baik semasa Ramadan, beliau berkata, masyarakat perlu bersikap empati.
"Andaikan kita dikutuk, dikecam, dan difitnah melalui tulisan orang lain, apa kita rasa ? Tentulah kita sakit hati, marah, dan mahu bertindak balas. Itu jugalah yang dirasakan oleh orang yang kita kecam barangkali mereka juga akan bertindak balas. Fikirlah 10 kali sebelum menulis sesuatu yang cabul kerana kesannya tidak akan berhenti malahan bersinambungan," katanya. - Bernama