BARU-BARU ini, tular akaun TikTok dipercayai milik Bishop atau ketua ajaran The Ahmadi, Religion of Light and Peace yang mendapat sambutan saat bersiaran langsung.
Kisah tentang fahaman yang bertentangan dengan syariat itu pernah menjadi polemik sejak tahun lalu lagi.
Pengikutnya percaya dengan kewujudan 12 Imam Mahdi. Itu antara pegangan asas ajaran berkenaan.
Lebih membimbangkan, apabila ajaran itu aktif menggunakan platform media sosial bagi menyebarkan dakyah yang terkeluar dari landasan agama dan dikhuatiri mempengaruhi golongan muda.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, ajaran The Ahmadi bertentangan dengan syariat Islam.
Menerusi artikel Al-Afkar #146: Waspada Penyebaran Ajaran Sesat Baharu ‘Agama Ahmadi’, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, terdapat banyak penyelewengan dan kesesatan yang dibawakan oleh The Ahmadi sehingga menggugat serta menjejaskan akidah umat Islam.
Pejabat mufti itu kemudian menyenaraikan enam potong hadis yang jelas menunjukkan penyelewengan dalam ajaran yang berkait dengan dakwaan pemimpinnya sebagai Imam Mahdi.
Antaranya Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Dalam satu riwayat lain daripada Ummu Salamah RA, Rasulullah bersabda:"Al-Mahdi dari ‘itrah (keturunan) aku dari anak Fatimah.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Bagaimana kita tahu mengenali Imam Al-Mahdi dan apakah tanda-tandanya?
Berikut perinciannya sebagaimana dipetik menerusi artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan:
1. Pada bahagian bahunya, ada tanda yang sama seperti pada bahu Rasulullah SAW.
2. Imam Al-Mahdi akan berkumpul bersama Nabi Isa AS dan Baginda akan bersolat di belakang Imam Al-Mahdi.
3. Penduduk bumi akan merasa cukup pada zaman kekuasaannya dan banyaknya keberkatan dari bumi akan keluar.
4. Beliau akan menanam satu batang kayu di atas tanah yang kering, lalu ia menjadi hijau dan berdaun.
Dari segi sifat-sifat yang dimiliki Imam Al-Mahdi, beliau digambarkan:
- Merupakan seorang anak Adam.
- Dahinya luas dan hidungnya mancung.
- Kedua-dua matanya bercelak.
- Wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar.
- Pada bahagian bahunya, ada tanpa seperti yang terdapat pada Nabi Muhammad SAW.
- Warna kulitnya ialah warna orang Arab dan tubuh badannya seperti tubuh orang Israel.
- Usianya 40 tahun ketika dibaiah. Dalam sebahagian riwayat mengatakan 30 hingga 40 tahun.
- Akhlak beliau menyerupai akhlak Nabi Muhammad SAW.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, selain kepercayaan ajaran Ahmadi kepada al-Imamah yang menyerupai Syiah Ithna ‘Asyriyyah, pengikut mereka turut mengucap kalimah syahadah dengan menambah penyaksian bahawa Ali RA, para imam 12 dan mahdi-mahdi mereka merupakan hujah ALLAH, di samping banyak menggunakan kitab-kitab syiah sebagai rujukan hadis.
"Umum mengetahui, ajaran syiah daripada semua alirannya telah difatwakan sesat di Malaysia, maka jelaslah bahawa ajaran yang menyerupai syiah seperti The Ahmadi ini juga merupakan fahaman sesat dan menyeleweng.
"Ia wajib dijauhi oleh semua umat Islam,” tegasnya.
Kelahiran Al-Mahdi
Memetik artikel yang disiarkan dalam Maktabah Albakri, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menghuraikan panjang lebar tentang salasilah Imam Al-Mahdi.
Beliau mengemukakan pandangan dikemukakan oleh Ibn Khatir dalam al-Nihayah fi al-Fitan wa al-Malahim bahawa nama Imam Al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdillah bin Al-’Alawi Al-Fathimi Al-Hasani.
"Kemunculannya adalah sebelum turunnya Nabi Isa AS berdasarkan hadis riwayat Muslim di mana Imam Al-Mahdi mengimamkan solat kepada seluruh umat Islam atas permintaan Nabi Isa AS.
"Al-Mahdi akan keluar dari timur, bukan dari Gua Samira’ sepertimana yang disangkakan oleh syiah (Rafidhah). Demikian pandangan Imam Ibnu Kathir,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.
Zulkifli menjelaskan, terdapat banyak riwayat yang memerihalkan tentang tempoh pemerintahan Al-Mahdi.