GUA MUSANG - Seorang peniaga di sini berkongsi rezeki dengan menjual ikan selayang pada harga 70 sen sekilogram.
Zuhairi Hashim, 35, berkata, tindakan tersebut bertujuan membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan untuk menyambut Ramadan.
"Sebanyak 6,000 kilogram (kg) ikan selayang disediakan untuk dijual kepada orang ramai.
"Jika hari biasa saya tetap berkongsi rezeki dengan menjual ikan selayang pada harga RM3 sekilogram, lebih rendah dari harga pasaran," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut beliau yang berasal dari Semerak, Pasir Puteh, selain selayang terdapat lebih 20 jenis ikan lain yang turut dijual di kedainya dengan harga bawah RM10 untuk setiap kilogram.
Ujarnya, ikan tersebut ialah tenggiri, selar, selar kuning, merah dan banyak lagi.
Zuhairi yang sudah 14 tahun menetap di Gua Musang memberitahu, jualan murah tersebut mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat dan menyifatkan harga yang ditawarkan jauh lebih murah.
"Saya berharap lebih ramai peniaga akan turut sama berbuat demikian dimasa akan datang," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28