Padah kutip pedang samurai

Iklan
Seorang lelaki ditahan selepas menyimpan dua pedang samurai di dalam kenderaannya. Gambar hiasan

SUBANG JAYA - Tindakan seorang lelaki mengutip dua bilah pedang samurai di kawasan pembuangan sampah sebelum menyimpannya dalam kereta mengundang padah apabila ditahan dekat Taman Puchong Permai di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek yang menaiki kenderaan jenis Honda Accord itu ditahan anggota polis dari Balai Polis Bukit Puchong kira-kira jam 3 pagi.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan berkenaan telah menjumpai dua bilah pedang samurai yang disimpan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan but," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua pedang itu diambil suspek dari kawasan pembuangan sampah, Puchong Jaya.

Iklan

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya Selangor dan suspek telah dituduh di bawah Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berjadual 1958 (Akta 357)," katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membawa sebarang senjata di tempat awam.

Iklan

"Pihak polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah, Subang Jaya)," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28