Lima kanak-kanak antara 19 PATI ditahan dalam Ops Sapu

Iklan
Antara warga asing yang ditahan dalam Ops Sapu pada Ahad dan Isnin lalu. Foto Jabatan Imigresen Malaysia

KOTA BHARU - Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk lima kanak-kanak ditahan dalam Ops Sapu/Kutip yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan di sekitar bandar Kota Bharu dan Machang.

Pengarah Imigresen Kelantan, Mohd Faizal Shamsudin berkata, mereka yang ditahan dalam operasi dua hari itu membabitkan warga Myanmar, Bangladesh, Kemboja, Mesir, Pakistan dan Syria.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, warga asing dewasa berusia antara 19 hingga 50 tahun manakala kanak-kanak pula antara tujuh hingga 12 tahun.

"Pemeriksaan ke atas kesemua mereka mendapati tiada dokumen sah dan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen1963," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau memberitahu, operasi yang bermula jam 8 pagi 10 Mac hingga 4 pagi 11 Mac dilaksanakan di pasar raya di Kota Bharu dan beberapa kedai runcit di Kampung Perol.

"Operasi di daerah Machang pula membabitkan beberapa buah rumah pekerja ladang di Temangan dan rumah teres di sekitar kawasan berkenaan," katanya lagi.

Iklan

Mohd Faizal memberitahu, tindakan dilakukan hasil risikan bahagian penguat kuasa.

"Kesemua warga asing dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat melindungi PATI," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!