TEKA-teki sama ada pemain sayap lincah, Arif Aiman Hanapi akan disenaraikan dalam skuad Harimau Muda ke Piala Asia bawah 23 tahun (B-23) Qatar pada April akhirnya terjawab.
Ia selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkan senarai panggilan pemain menyaksikan tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tidak akan bersama dalam skuad kendalian Juan Torres Garrido.
Sebelum ini, beberapa saranan diutarakan bekas pemain kebangsaan dan pemerhati sukan yang mahu Arif Aiman dibawa ke Piala Asia B-23 untuk membantu Harimau Muda melangkah jauh dalam kejohanan tersebut.
Keupayaan Arif Aiman diyakini mampu untuk memberikan nilai tambah selain semangat kepada pemain muda negara berdasarkan pengalaman yang dimiliki pemain berusia 21 tahun itu bersama skuad senior di pentas Piala Asia Januari lalu.
Dalam pada itu, Garrido menyenaraikan 17 pemain bagi menyertai kem latihan yang akan bermula pada Ahad depan.
Barisan 17 pemain itu akan disertai beberapa pemain yang sedang menjalani kem latihan pusat skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon sejak 8 Mac lalu.
11 pemain B-23 yang sedang mengikuti latihan bersama pasukan senior ialah Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad, Safwan Mazlan, Harith Haiqal Adam Afkar, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran, Sikh Izhan Sikh Azman, Aliff Izwan Yuslan, Haqimi Azim Rosli dan T Saravanan.
Skuad B-23 negara menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 selepas muncul empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.
Anak buah Garrido diundi dalam Kumpulan D bersama Vietnam, Kuwait dan Uzbekistan yang akan menjadi lawan pertama pada 17 April.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28