LUMUT - Sepasang suami isteri mengetepikan rasa malu apabila menjadikan badut sebagai kerjaya mereka, selain membuat persembahan silap mata dan menjual belon untuk menggembirakan masyarakat, sejak sembilan tahun yang lalu.
Muhammad Al-Hazim Ahmad, 32, dan isterinya, Nor Farah Hanim Samsol Bahrin, 30, dibantu adik iparnya, Nor Aina Natasya Samsol Bahrin, 27, bukan sekadar menjadikan badut sebagai kerjaya mereka, malah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran sebagai ahli silap mata dan mempelajari ilmu mengenai karakter badut.
Muhammad Al-Hazim yang lebih dikenali sebagai Jiji berkata, dirinya sendiri mengambil masa kira-kira dua tahun untuk menguasai kemahiran tertentu, antaranya melibatkan suara badut serta silap mata demi menjadikan kerjaya itu mempunyai profesionalisme tersendiri.
"Bukan semua orang mempunyai kebolehan untuk menukar suara mereka menjadi suara badut, kadang kala latihan selama bertahun lamanya masih tidak membuahkan hasil, kerana setiap orang mempunyai keterbatasan masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.
Anak kelahiran Sitiawan itu berkata,modal yang dikeluarkan bagi kelengkapan serta pakaian badut juga bukanlah sedikit, namun minat dan mahu menampilkan yang terbaik mengatasi segalanya.
"Untuk hidung badut sahaja, berharga antara RM120 sehingga RM150 mengikut jenis, tetapi kalau kasut badut pula ia boleh mencecah RM3,000, bergantung kepada jenis dan negara pengeluarnya,” katanya yang merupakan lepasan diploma dalam bidang elektrik dan elektronik.Bapa kepada seorang cahaya mata perempuan berusia tujuh tahun itu juga berkata, kerjaya sebagai badut juga, mempunyai pantang larang yang harus dijaga bagi mengelakkan imej profesion itu tercalar.
"Kami juga tidak boleh perbodohkan penonton kerana ada kanak-kanak melihat kami seperti hero,” katanya menambah mereka bertiga tidak sesekali melayan stigma masyarakat yang memandang enteng terhadap profesion itu.
Muhammad Al-Hazim berkata, tidak dinafikan terdapat segelintir masyarakat yang mempunyai stigma terhadap pekerjaan sebagai badut, namun baginya tidak menjadi masalah selagi hasil pendapatan itu daripada sumber yang halal.
Beliau berkata, rezeki tidak akan datang tanpa adanya usaha dan pintu rezeki sentiasa terbuka, asalkan ia bukanlah larangan dari segi undang-undang mahupun agama.
"Kalau ada orang yang mengata tentang kerjaya kami ini, kami akan senyum sahaja tanpa berbuat apa-apa, sebab kita kena percaya dengan rezeki masing-masing."Asalkan kita minat, pekerjaan itu halal dan tidak meminta sedekah, bagi saya tiada masalah untuk teruskan (kerjaya badut),” katanya.
Sementara itu, Nor Farah Hanim berkata, badut mempunyai pelbagai watak namun antara yang popular di Malaysia ialah watak Full Face, Auguste dan Hobo.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Rara berkata, mereka bertiga sering menggunakan watak Auguste, kerana ia kelihatan ceria dan lebih mudah untuk mendekati penonton, terutama kanak-kanak berbanding watak lain.
"Kami selalu memakai pakaian dan bersolek mengikut watak Auguste sebab lagi mudah nak tarik audiens.
"Kadangkala kami juga ada memakai pakaian lain seperti pakaian beruniform dan sebagainya, kesemuanya mengikut kehendak pelanggan,” katanya.
Nor Farah Hanim berkata, mereka banyak menghabiskan masa untuk belajar menjadi badut menerusi Internet seperti laman sosial Facebook, YouTube dan TikTok.
Beliau berkata, setakat ini mereka hanya aktif di pusat beli-belah Aeon di sekitar Perak pada setiap hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dan akan menjual belon kepada pengunjung yang hadir, sementara Muhammad Al-Hazim akan bergerak solo pada hari biasa sebagai badut, ataupun memenuhi jemputan daripada sekolah atau penganjur luar.Mengimbas bagaimana badut menjadi kerjayanya dan suami, Nor Farah Hanim berkata segalanya bermula apabila beliau dan Muhammad Al-Hazim menjual belon untuk sebuah syarikat konsultan pendidikan pada tahun 2015.
"Waktu itu, jual belon macam boleh dapat pendapatan yang banyak juga. Kami terus tekad untuk berhenti kerja dan sekadar jual belon, maka kami pun sekadar jual belon di Port Dickson, Negeri Sembilan ketika itu sebelum berpindah ke pasar malam di Manjung.
"Kebetulan di pasar malam itu, pengurus Aeon Manjung nampak kerja yang kami lakukan dan terus beri tawaran supaya kami bertapak di Aeon Manjung sehinggalah hari ini. Dari situ kami mula untuk belajar menjadi badut yang sebenar,” katanya.
Bagi Nor Aina Natasya yang lebih mesra disapa sebagai Chacha, beliau yang bekerja sebagai operator kilang, pada mulanya hanya berniat membantu kerjaya kakak dan abang iparnya itu.
"Saya bermula pada tahun 2017, mula-mulanya nak tolong kakak sahaja tetapi lama-kelamaan semakin minat dengan kerjaya ini (badut) dan terus membantu mereka sehingga ke hari ini,” katanya yang juga bekerja separuh masa sebagai model.
Orang ramai yang mahu mendapatkan perkhidmatan mereka boleh berbuat demikian menerusi laman sosial Facebook dan TikTok dengan nama Ajim Sajea atau TikTok @fararosham. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28