Setahun 'cuti', kakak kanak-kanak leukemia kembali ke sekolah

Iklan
Mohd Romzan hasrat memohon rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar bandar raya ini agar anak-anaknya hidup selesa.

JOHOR BAHRU - Kedatangan Ramadan memberi sinar dan harapan baharu kepada keluarga kanak-kanak perempuan yang menghidap leukemia di Taman Sinaran Kempas di sini selepas lebih enam bulan kehidupan mereka diuji.

Menurut Mohd Romzan Ramli, 44, keluarganya gembira apabila anak sulung, Nur Alia Qaisara, 12, yang tidak bersekolah sejak setahun lalu kini diterima belajar dan tinggal di sebuah pusat tahfiz sejak Ahad.

Iklan
Iklan

"Nur Alia Qaisara kini belajar di Asrama Kebajikan Ar Rayyan di Taman Sri Amar di sini. Selepas ini dia lebih terurus dan boleh menumpu kepada pembelajaran.

"Ini kerana sebelum ini dia perlu menjaga anak ketiga, Muhammad Adam Daniel yang berusia dua tahun ketika isteri menemani Nur Alisha Umaira, 5, yang menghidap leukemia ke hospital.

Iklan

"Sudah tiga hari dia tinggal di asrama dan menyatakan seronok serta mahu belajar bersungguh-sungguh," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Pada 6 Mac lalu, Sinar Harian menyiarkan penderitaan dihadapi anak keduanya, Nur Alisha Umaira yang menghidap leukimia sejak Julai lalu.

Iklan

Keluarga mereka sekarang ini hidup dalam serba kekurangan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang malah enam beranak itu terpaksa mengikut perut disebabkan sudah mula terputus bekalan makanan.

"Ketika terputus bekalan makanan beberapa hari lalu, kami terpaksa meminta bantuan jiran untuk membelikan sedikit beras supaya anak-anak tidak kelaparan.

"Pendapatan bulanan suami yang merupakan pekerja kontrak sebanyak RM1,000 tidak cukup kerana perlu mengutamakan kos rawatan dan keperluan Nur Alisha Umairah yang didiagnos selepas menghidapi leukemia," ujar ibu Nur Alisha Umaira iaitu Suhana Zainal, 29.

Bercerita lanjut, Mohd Romzan berkata, keluarganya terharu dengan keprihatinan ramai yang menghulurkan sumbangan kepada Nur Alisha selepas kisah berkenaan penderitaan anaknya disiarkan dalam media.

Bapa kepada empat cahaya mata tersebut berkata, sumbangan dihulurkan itu dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

Selepas ini kata Mohd Romzan, keluarganya berhasrat memohon rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar bandar raya ini.

Dia juga bercadang untuk mencari pekerjaan tetap bagi menaik taraf kehidupan keluarga secara berperingkat-peringkat kerana rumah yang disewa itu bukan sahaja dalam keadaan serba kekurangan selain tandas juga rosak.

"Rumah berkenaan tidak sesuai bagi kami yang memiliki anak kecil terutama Nur Alisha Umairah yang mengalami masalah kesihatan.

"Kami ingin memberi keselesaan kepada anak-anak. Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu kami dan menjadikan Ramadan ini lebih bermakna," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada keluarga Suhana menerusi akaun Maybank Romzan 151623064684.