IPOH - Jabatan Imigresen (Imigresen) telah mengenal pasti lokasi persembunyian baki 30 pendatang tanpa izin yang masih bebas selepas melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, 1 Februari lalu.
Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, kesemua tahanan terdiri daripada warga Rohingya itu didapati mendapatkan perlindungan daripada komuniti mereka di beberapa daerah di negeri ini.
Menurutnya, pemantauan dan intipan berterusan sedang dilakukan termasuk ke atas kelompok komuniti tersebut sebelum tangkapan dapat dilakukan.
"Cuma kemungkinan besar mereka bersembunyi di luar daerah, oleh kerana kejadian di Bidor, jadi kemungkinan mereka berada di Kinta (Ipoh), Kuala Kangsar atau Taiping," katanya dalam sidang akhbar sempena Program Repatriasi Migran (PRM) di sini pada Selasa.
Pada 16 Februari lepas, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution memaklumkan pencarian terhadap baki tahanan pendatang tanpa izin yang melarikan diri itu akan dilakukan berdasarkan maklumat diterima daripada orang awam.
Setakat ini, seramai 101 daripada 131 pendatang asing berkenaan telah ditahan manakala dua lagi dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya.
Susulan insiden itu juga, seramai 435 tahanan yang berada di pusat berkenaan telah dipindahkan ke enam depoh tahanan antaranya Machap di Melaka, Lenggeng di Negeri Sembilan, Bukit Jalil di Kuala Lumpur, Kemayan di Pahang dan Langkap di Perak.
Mengulas lanjut, Meor Hezbullah berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu makluman daripada ibu pejabat sama ada Depot Imigresen Sementara Bidor yang ditutup sementara itu dapat beroperasi semula dalam masa terdekat.
Katanya, meskipun tiada tahanan ditempatkan di situ, operasi pusat tahanan tetap berjalan terutama bagi kerja-kerja pengurusan dan kawalan.
"Semalam saya telah melawat depoh tahanan itu. Walaupun tiada tahanan, pegawai dan anggota kita ada dan masih bertugas seperti biasa, kerja baik pulih (kerosakan) juga dalam proses," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!