LCS pertama capai 85 peratus November ini, lalui ujian di laut

Iklan
LCS pertama dijangka menjalani ujian penilaian di pelabuhan dan laut pada November depan sebaik sahaja mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 85 peratus.

KUALA LUMPUR - Kapal tempur pesisir (LCS) pertama dijangka menjalani ujian penilaian di pelabuhan dan laut pada November depan sebaik sahaja mencapai kemajuan pembinaan sebanyak 85 peratus.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kedua-dua ujian berkenaan mengambil masa selama dua tahun sebelum LCS pertama dijangka ditauliah pada 2026.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, status semasa kemajuan kapal LCS merangkumi reka bentuk, pembinaan, peralatan serta ujian yang berakhir Januari lalu adalah 67.57 berbanding sasaran 68.77 peratus.

"Maknanya ada kurang satu peratus, tetapi pihak syarikat Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd akan berusaha untuk pastikan kita dapat lakukan mitigasi menangani cabaran ini dan dijangka bulan Jun itu, projek LCS tersebut kembali ke jadual sasarannya.

Iklan

Mengulas lanjut, beliau berkata peratusan kemajuan pembinaan bagi kapal LCS kedua hingga lima akan turut meningkat menjelang akhir tahun ini.

"Untuk LCS kedua akan capai 78.17 peratus; LCS ketiga (61.48 peratus); LCS keempat (53.40 peratus); dan LCS kelima (42.11 peratus)," katanya.

Iklan

Oktober tahun lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) dalam laporan prosiding berhubung kemajuan projek pembinaan LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 memaklumkan, kelima-lima kapal LCS akan siap pada 2029.

Bagi tujuan itu, kos tambahan kos RM2.098 bilion diperlukan, kepada kos asal RM9.128 bilion.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28