PM bertemu pemimpin industri Jerman di Berlin

Iklan
Anwar (tengah) bersalaman dengan pemain industri Jerman ketika menghadiri Mesyuarat Meja Bulat Bersama Kapten Industri di Berlin hari ini. Foto Bernama

BERLIN - Lebih 35 pemimpin industri dan perniagaan menyertai mesyuarat meja bulat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Perdana Menteri yang tiba di sini pada Ahad, mengambil peluang untuk memberi jaminan kepada perniagaan Jerman bahawa Malaysia kekal sebagai antara lokasi terbaik dan pilihan untuk pelabur.

Iklan
Iklan

Syarikat daripada ekonomi terbesar dunia itu yang hadir pada sesi tersebut terlibat dalam sektor seperti tenaga, peranti perubatan, semikonduktor, elektronik, jentera, automotif dan aeroangkasa.

Antara yang menghadiri mesyuarat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Siemens AG, Dr Roland Busch, CEO B. Braun GmbH Anna Braun dan CEO Melexis Marc Biron.

Iklan

Turut hadir Presiden Airbus Asia Pacific, Anand Stanley dan Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Dr Susanne Lehmann dan Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr Rutger Wijburg.

Selain itu, wakil dari Dewan Perniagaan Jerman, Dewan Perniagaan Malaysia-Jerman dan Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (BVMW).

Iklan

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

Pada masa ini, terdapat lebih 700 syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia, mewujudkan 65,000 pekerjaan.

Jerman telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000 manakala Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia dengan Jerman naik 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (US$13.90 bilion) daripada RM59.87 bilion (US$13.62 bilion) pada 2022. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28