GEORGE TOWN - Lelaki warga Singapura yang hilang sejak empat hari lepas ditemukan maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam cerun setinggi 45 meter di kawasan bukit Jalan Paya Terubong ke Relau.
Mangsa berusia 29 tahun itu ditemukan di luar kenderaannya kemungkinan terpelanting atau keluar sendiri dari kenderaan, di sini hari ini.
Iklan
Iklan
Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Muzzamer Mohd Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1 tengah hari dan sepasukan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Jalan Perak dan Paya Terubong digerak ke lokasi kejadian.
"Mangsa ditemui dalam keadaan luka di keseluruhan badan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, seorang daripada ahli keluarga mangsa yang mahu dikenali sebagai Chew berkata, mangsa keluar dengan memandu sebuah kereta jenis Proton Persona milik teman wanitanya sebelum dilaporkan hilang pada 9 Mac lepas.
Katanya, kali terakhir mangsa menghubunginya adalah sekitar 1 pagi dan memaklumkan dalam perjalanan pulang ke rumah di Alor Vista, dekat Relau. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28